Sabah contoh terbaik dalam jalinan kerjasama politik: Muhyiddin

Muhyiddin ketika melancarkan Projek Lok Kawi Resort City di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin ketika melancarkan Projek Lok Kawi Resort City di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kerajaan Sabah adalah contoh terbaik dalam jalinan antara gabungan politik dan harus dikembangkan di seluruh negara.

Beliau berkata, kerjasama itu sebagai petanda yang menunjukkan kesungguhan untuk menunaikan apa yang rakyat perlukan.

"Sabah ini saya lihat agak istimewa, contoh Sabah adalah terbaik di mana jalinan parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di dalamnya Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan juga Parti Bersatu Sabah (PBS).

"Ini satu petanda yang menunjukkan bahawa kalau ada kesungguhan dan tidak banyak bermain politik tetapi kita berikan tumpuan pada soal apa yang rakyat nak, apa yang diperlukan oleh negeri Sabah.

"Kalau ini dikembangkan di seluruh Malaysia, itulah yang jadi keutamaannya. Ini bukan soal menjadi populariti dan parti mana yang terbaik tetapi apa yang boleh kita dilakukan," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan pembangunan Lok Kawi Resort City, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau berharap semangat Sabah Maju Jaya yang ditunjukkan dalam contoh kerjasama dan jalinan politik ini boleh dilaksanakan.

"Saya mendokong usaha seperti yang ditunjukkan oleh Datuk Hajiji (Datuk Seri Hajiji Noor), Bung Moktar (Datuk Seri Bung Moktar Radin), Datuk Jeffrey (Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan), Maximus Ongkili (Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) dan lain-lain lagi termasuklah parti-parti Pas, MCA.

"Inilah contoh terbaik, kalau kita bersungguh-sungguh untuk menumpukan kepada agenda utama membela rakyat, inilah contoh terbaik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika ditanya jika ada perbincangan bersama GRS berhubung pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum (PRU), Muhyiddin mengakui ada berbincang mengenainya namun hanya dibuat secara santai.

"Tidak secara spesifik (perbincangan), lebih dalam keadaan santai kerana saya nak tumpuan diberikan kepada soal apa yang harus negeri Sabah laksanakan selepas menghadapi pilihan raya kerana Sabah sudah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Rakyat Sabah sudah memberikan mandat yang begitu besar untuk menguruskan Sabah. Sekarang ini kita fokus untuk melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto dalam kempen," katanya.