Orang Asli Gua Musang bantah pembinaan Empangan Nenggiri

Masyarakat orang asli Gua Musang tidak mahu tanah adat dan kawasan rayau mereka diganggu.
Masyarakat orang asli Gua Musang tidak mahu tanah adat dan kawasan rayau mereka diganggu.
A
A
A

GUA MUSANG – Lebih 3,000 orang asli dari 17 wilayah dan ratusan kampung di negeri ini sebulat suara membantah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang kerana dipercayai bakal memusnahkan 5,384 hektar kawasan hutan yang melibatkan tanah adat dan wilayah orang asli di kawasan itu.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along dalam satu kenyataan berkata, pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri tersebut dikatakan untuk menyelesaikan masalah banjir, kemarau dan membekalkan bekalan tenaga elektrik.

Menurutnya, bagaimanapun, ia akan memberi kesan yang teruk kepada empat buah penempatan orang asli secara langsung iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat, Kampung Wias dan Kampung Bering.

“Seramai 1,185 orang daripada 217 keluarga akan dipindahkan ke kawasan lain iaitu di Kampung Kuala Yai dan 18 kampung atau pos akan terjejas secara tidak langsung kerana kawasan hutan rayau, tanah adat dan wilayahnya juga akan tenggelam.

“Ia akan memusnahkan sebahagian besar kawasan hutan, tanah adat dan wilayah kami di mana di situlah tempat kami mendapatkan bekalan air bersih untuk memasak, mandi, membasuh dan bercucuk tanam, mendapatkan makanan hutan melalui aktiviti memburu dan sebagainya.

“Kawasan itu juga kami menuai ulam-ulaman serta tumbuhan hutan, sumber ubat-ubatan, bahan pembinaan rumah, bahan untuk upacara adat, budaya dan agama, kawasan kubur nenek moyang, tempat berteduh daripada bencana alam, eko-pelancongan dan menuai hasil-hasil hutan untuk menjana ekonomi seperti rotan, akar kayu, buah-buahan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Penduduk orang asli di kawasan tersebut tampil bersuara supaya pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang dibatalkan.
Penduduk orang asli di kawasan tersebut tampil bersuara supaya pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang dibatalkan.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, projek tersebut juga dipercayai bakal menenggelamkan kawasan yang mempunyai nilai sejarah penting untuk komuniti Orang Asli Temiar iaitu Gua Cha dan Gua Chawas yang menjadi bukti kewujudan kaum tersebut selain mempunyai artifak yang membentuk kronologi sejarah awal Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain tapak prasejarah yang berdekatan Pos Pulat dan empangan utama yang mempunyai nilai sejarah serta arkeologi tinggi, ia juga bakal menenggelamkan beberapa gua iaitu Gua Keledung, Gua Cahaya, Gua Kecil, Gua Lubang Kelewar, Gua Perdang, Gua Rahmat, Gua Kemiri dan Gua Tok Batin.

“Projek ini juga akan menutup salah satu jalan utama menuju ke Pos Simpor. Jika perkara ini dilaksanakan kelak, komuniti Pos Simpor terpaksa menempuh perjalanan yang lebih jauh kerana perlu melalui Pos Bihai sebelum boleh sampai ke Kuala Betis dan keluar ke bandar Gua Musang.

“Buat masa ini, tempoh yang akan diambil oleh komuniti Pos Simpor untuk sampai ke Kuala Betis sekitar tiga jam lebih tetapi jika laluan ini terpaksa dipindahkan masa yang diambil dijangka bertambah ke lima hingga enam jam.

“Dalam sejarah pembangunan negara ini, pembinaan empangan hidroelektrik tidak pernah memberikan keuntungan kepada komuniti orang asli dan orang asal. Kami juga mendapat aduan daripada penduduk kampung yang terlibat bahawa proses rundingan, dialog dan konsultansi antara pihak konsultan dengan komuniti tidak dijalankan dengan jujur, telus, adil dan menyeluruh, tidak selari dengan prinsip Keizinan berasaskan Makluman Awal, Bebas dan Telus (IMABT).

“Ini kerana komuniti hanya diberikan sisi pandangan yang positif tentang manfaat pembinaan empangan, tetapi kesan-kesan negatif dan risiko pembinaan empangan tidak ditekankan. Ini membuatkan sebahagian komuniti yang tidak berpengalaman dan berpengetahuan tentang selok-belok teknikal sukar untuk menilai dan membuat keputusan secara adil dan matang,” katanya.

Oleh yang demikian, pihaknya menuntut kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga Tenaga Nasional Berhad (TNB) membatalkan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri ini kerana ia tidak relevan sebagai penyelesaian jangka panjang yang mampan bagi mengurangkan masalah banjir, kemarau dan membekalkan elektrik.

“Kami memohon pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk tidak meluluskan aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan cadangan terutamanya kawasan hutan Gua Musang serta hulu Kelantan kerana ia penyumbang utama kepada krisis banjir dan kemarau di negeri ini,” katanya.