Bidaan nombor plat kenderaan 'UniSZA' dibuka hari ini

Hassan Basri ketika merasmikan majlis Pelancaran Nombor Pendaftaran Khas UniSZA, di pekarangan Canselori UniSZA, Kuala Nerus pada Isnin.
Hassan Basri ketika merasmikan majlis Pelancaran Nombor Pendaftaran Khas UniSZA, di pekarangan Canselori UniSZA, Kuala Nerus pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS – Nombor pendaftaran kenderaan khas dengan awalan 'UniSZA' dibuka untuk bidaan bermula hari ini hingga 26 Mac 2021.

Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, universiti itu antara universiti awam terawal mengemukakan permohonan bagi penjualan nombor pendaftaran khas dalam usaha menjana pendapatan universiti.

"UniSZA mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi antara universiti awam terawal melancarkan nombor plat khas kenderaan.

"Sesi pertama bidaan nombor pendaftaran khas 'UniSZA' dibuka bermula hari ini sehingga 26 Mac bagi nombor pendaftaran bermula 1 hingga 9,999 sahaja.

"Mereka yang membida pada harga paling tinggi bagi nombor yang dipilih akan diumumkan sebagai berjaya dalam proses itu," katanya sempena program Sembang Pagi UniSZA sebelum merasmikan majlis Pelancaran Nombor Pendaftaran Khas UniSZA, di pekarangan Canselori UniSZA, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu katanya, inisiatif penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas itu selepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendapat kelulusan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang menawarkan plat kenderaan khas universiti awam.

"UniSZA turut mendapat kelulusan dari MOT untuk menggunakan reka bentuk tulis 'UniSZA' menyamai tulisan digunakan sempena sambutan 40 tahun UniSZA.

"Fakulti Reka bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) UniSZA akan menyediakan perkhidmatan mencetak plat kenderaan menggunakan teknologi laser," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Pusat Penjanaan Pendapatan, Pelaburan dan Jaringan Industri (P4P) UniSZA, Profesor Dr Ahmad Shukri Yazid berkata, terdapat empat kategori nombor plat kenderaan khas UniSZA iaitu bernilai utama, menarik, popular dan semasa.

"UniSZA menyasarkan kakitangan, alumni, pelajar dan orang awam termasuk dari KUSZA, UDM dan UniSZA sebagai kumpulan sasaran bagi projek ini.

"Lebih menarik, sesiapa membeli nombor plat UniSZA akan berpeluang memenangi cabutan bertuah dan mendapat diskaun jika membeli kereta melalui syarikat terpilih”, katanya.