X

Kindly register in order to view this article
!

Taklimat bantu ahli Parlimen perjelas program imunisasi kepada rakyat

Ahmad Maslan (tengah) ketika hadir pada Sesi Taklimat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Sesi Taklimat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada ahli Parlimen membolehkan wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang mendapat maklumat lebih jelas mengenai vaksin itu untuk disampaikan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penjelasan tersebut membantu pihaknya memberi penerangan kepada penduduk mengenai manfaat vaksin bukan sahaja bagi melindungi diri sendiri tetapi juga orang lain.

Beliau menyarankan kerajaan supaya menggunakan lebih banyak stadium selain mendirikan khemah-khemah besar untuk dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin Covid-19 dalam usaha mempercepatkan jumlah rakyat yang menerima suntikan itu.

"Kerajaan sasar akan selesaikan (pemberian vaksin) sehingga 80 peratus pada hujung tahun 2021, awal dua bulan daripada jangkaan asal pada tahun 2022.

"Jika boleh guna stadium atau dirikan khemah di klinik atau hospital supaya boleh disegerakan jumlah orang terima vaksin. Selain itu, berharap dengan peruntukan RM5 bilion bagi pelaksanaan vaksin Covid-19 membolehkan rakyat mendapat suntikan vaksin secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada Ahli Parlimen di Dewan Seri Siantan di sini pada Isnin.

Taklimat yang diadakan dalam dua sesi iaitu sesi pagi untuk ahli Parlimen Kerajaan dan petang bagi wakil rakyat pembangkang itu disampaikan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Antara yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Dr Mah Hang Soon; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat).

Sementara itu, Shahidan yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) berkata, sebagai wakil rakyat, pihaknya akan membantu membuat pendaftaran untuk penduduk di kawasan masing-masing bagi mendapatkan suntikan vaksin.

"Pasukan Parlimen saya akan gerakkan jentera untuk kami buat pendaftaran (suntikan vaksin) di masjid. Kita akan ambil sukarelawan untuk bantu buat pendaftaran supaya lebih ramai berdaftar," katanya.

Senada dengan Shahidan adalah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang akan mempergiat kempen pendaftaran sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 di kawasannya termasuk melalui pejabat Ahli Parlimen atau ketua kampung.

"Semua rakyat patut ambil vaksin kerana kita jaga kita. Ini sama sahaja seperti kita pergi Mekah kena ambil vaksin," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!