Gaduh di Bulatan Pahang, empat lelaki ditahan

Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan sekumpulan penunggang motosikal dengan pemandu pacuan empat roda di jalan berhampiran Bulatan Pahang.
Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan sekumpulan penunggang motosikal dengan pemandu pacuan empat roda di jalan berhampiran Bulatan Pahang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan empat lelaki pada Ahad bagi membantu siasatan kes pergaduhan sekumpulan penunggang motosikal dengan pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda di jalan berhampiran Bulatan Pahang di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua lelaki berumur antara 16 hingga 42 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan bermula 8 malam hingga tengah malam Ahad di sekitar ibu negara.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan halangan sebuah motosikal ke atas kenderaan pacuan empat roda di Lorong Haji Hussin, Chow Kit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua suspek yang negatif ujian dadah berkenaan direman selama tiga hari bermula pada Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaaan kerana merusuh.

Terdahulu, sebuah video berdurasi tiga minit tular dalam media sosial menunjukkan seorang penunggang motosikal memecahkan cermin sisi sebuah kenderaan pacuan roda sebelum pemandu kenderaan tersebut keluar dari kenderaannya sambil menghunus sebilah parang ke arah sekumpulan penunggang motosikal berkenaan.

Mohamad Zainal juga menasihati orang ramai supaya tidak melakukan tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang serta tidak menularkan video yang boleh mendatangkan kegusaran awam. - Bernama

Artikel Berkaitan: