Bangkai penyu agar ditemui di Pantai Balok

Mohd Hanafi melihat bangkai penyu agar yang ditemui di Pantai Balok.
Mohd Hanafi melihat bangkai penyu agar yang ditemui di Pantai Balok.
A
A
A

KUANTAN – Seekor penyu agar (Chelonia Mydas) ditemui mati dengan kesan luka oleh pemancing di Pantai Balok di sini, petang Ahad.

Bangkai penyu sepanjang kira-kira 0.9 meter itu percayai mati akibat terkena jaring nelayan.

Pemancing terbabit, Mohd Hanafi Salleh, 39, berkata, bangkai haiwan dipercayai terdampar di lokasi itu sejak beberapa hari lalu kerana keadaannya sudah mula mereput.

"Saya menyangka objek itu adalah tunggul kayu tetapi apabila didekati saya terhidu bau busuk dan menyedari ia adalah bangkai penyu.

"Kesan luka pada badannya dipercayai terkena jaring nelayan sebelum mendarat dan terdampar di pantai ini," katanya ketika ditemui di Pantai Balok, pada Isnin.

Mohd Hanafi berkata, ini kali pertama dia menemui bangkai penyu di pantai itu walaupun sering memancing di situ dan terkilan dengan kematian haiwan kerana spesies itu sukar ditemui.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 24 kes kematian penyu agar sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2019.

Katanya, daripada jumlah itu, tiga kes direkodkan dalam tempoh tiga bulan tahun ini, tujuh kes sepanjang tahun lalu dan 13 kes sepanjang tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

"Punca kematian dipercayai akibat tersangkut pada pukat, terkena kipas bot nelayan dan mengalami masalah usus yang berpunca daripada memakan plastik yang dibuang ke laut," katanya.

Abdullah berkata, bagi mencegah penyu tersangkut pada pukat, penggunaan mata pukat hanyut yang melebihi 10 inci yang dikenali sebagai ‘pukat pari’ adalah dilarang.

Jelasnya, larangan itu dibuat berdasarkan Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.

Selain itu, beliau meminta semua pihak termasuk nelayan tidak membuang sampah terutama plastik ke dalam laut dan persekitaran kerana pencemaran plastik turut menjadi ancaman kepada penyu.