Datuk Seri gagal hadir, mahkamah keluar waran tangkap

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin mengeluarkan waran tangkap kepada seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ apabila gagal menghadirkan diri bagi pertuduhan kes menyelesaikan dan melepaskan 22 orang warga China.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Rozilah Salleh setelah pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.

Terdahulu, peguam bela T Tamil Salvan yang mewakili tertuduh, Mohammed Al Faizal Mohammed, 45, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya kini berada di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur kerana mengalami artritis.

Tamil Salvan berkata, anak guamnya tidak sempat memberitahu mahkamah dan jelasnya, beliau juga baru dimaklumkan mengenai keadaan tertuduh itu pada Isnin.

Rozilah kemudian bertanya kepada pihak pembelaan sama ada hospital tersebut ada mengeluarkan surat yang menyatakan ahli perniagaan itu tidak boleh ke mahkamah, dan beliau mengarahkan Tamil Salvan mendapatkan pengakuan bahawa Mohammed Al Faizal, tidak mampu menghadirkan diri pada prosiding berkenaan atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun, Fadhli memaklumkan bahawa pihak pendakwaan sudah berhubung dengan hospital berkenaan dan dimaklumkan bahawa mereka sudah membenarkan tertuduh hadir ke mahkamah pada Isnin.

Namun, katanya, tertuduh memilih untuk tidak hadir pada prosiding pendakwaan itu dan mahkamah memutuskan pertuduhan terhadap kes itu dilaksanakan pada Selasa.

Terdahulu, Mohammed Al Faizal sepatutnya menghadapi dua pertuduhan termasuk satu pertuduhan pilihan menyelesaikan dan melepaskan 22 orang warga China yang telah ditangkap oleh polis dan diletakkan dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia atas kesalahan menjalankan aktiviti judi dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 Mac lalu, tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan iaitu secara rasuah menerima suapan berjumlah RM176,000 daripada seorang ahli perniagaan sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 warga China dari tahanan polis dan Jabatan Imigresen Malaysia. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Seri tak mengaku terima suapan lepaskan 22 warga China