Bekas pengurus besar kanan syarikat pembinaan didakwa rasuah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas pengurus besar kanan syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM215,700 pada tahun 2017 hingga 2019.

Chua Shiou Meng, 49, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut dua pertuduhan tersebut, tertuduh secara rasuah menerima suapan wang daripada dua individu masing-masing berjumlah RM140,000 dan RM75,700 melalui akaun bank milik Chua serta isterinya sebagai dorongan untuk tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak dua buah syarikat dibatalkan.

Shiou Meng didakwa melakukan kesalahan tersebut di dua bank masing-masing di Bandar Puchong Jaya pada 14 Jun 2017 hingga 13 September 2018 dan di Bandar Puteri Puchong, pada 9 Februari 2018 hingga 17 Januari 2019.

Dalam prosiding sama, Shiou Meng turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan meminta rasuah daripada seorang individu iaitu suapan RM10,000 bayaran wang setiap bulan sebagai dorongan tidak memberikan laporan prestasi kerja kurang baik dan menyebabkan kontrak syarikat dibatalkan yang dilakukannya di sebuah restoran di Bandar Puchong Jaya di sini pada Januari 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, Shiou Meng yang diwakili peguam Nik Ahmed Asraf Nik Othman, Shah Rizal Abdul Manan dan Kelvinder Singh, merayu agar mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan masih menanggung isteri dan anak serta mempunyai masalah kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor sekali sebulan dan menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama