Suntikan vaksin: Kerajaan diminta utamakan pekerja kilang

Kon Yeow (tengah) memegang plakad tertulis 'Saya sudah ambil 2 dos' selepas menerima suntikan vaksin dos kedua pada Isnin.
Kon Yeow (tengah) memegang plakad tertulis 'Saya sudah ambil 2 dos' selepas menerima suntikan vaksin dos kedua pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang meminta kerajaan Pusat memberi keutamaan kepada pekerja kilang di negeri tersebut untuk pemberian vaksin susulan terdapat kluster aktif melibatkan kumpulan itu pada waktu ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain itu, pihaknya berharap penguatkuasaan ke atas kilang dipertingkatkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang.

"Kerajaan negeri berharap kerajaan Pusat membuat keputusan berhubung permintaan agar pekerja di sektor perkilangan diberi keutamaan dalam pemberian vaksin kerana masih ada kluster aktif melibatkan golongan itu.

"Selain itu, kerajaan negeri telah beberapa kali meminta agar kerajaan Pusat menguatkuasakan garis panduan 'save at work' yang digubal Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) di kilang-kilang di Pulau Pinang memandangkan kluster pekerja kilang masih aktif," katanya menerusi rakaman kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan analisa risiko situasi semasa mengenai kluster-kluster di Pulau Pinang.

"Kluster-kluster yang masih aktif di negeri ini antaranya depot imigresen di Juru serta kluster industri dan perkilangan. Oleh itu, kita berharap penguatkuasaan dapat dipertingkatkan di kilang-kilang," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sehingga 21 Mac, seramai 444,185 orang telah mendaftar untuk pemberian vaksin di Pulau Pinang.

"Lebih 31,000 orang layak untuk menerima dos pertama. Sehingga semalam (21 Mac), seramai 28,316 orang telah menerima vaksin dos pertama.

Artikel Berkaitan:

"Oleh demikian, hanya tinggal kira-kira 3,000 orang lagi yang masih menunggu giliran untuk menerima suntikan tersebut.

"Bagi dos kedua pula, ia sudah mula sejak beberapa hari lalu. Sehingga semalam, 328 orang telah menerima suntikan dos kedua," katanya.

Kon Yeow bersama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy telah menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19, pada jam 12.10 tengah hari.

Prosedur suntikan yang dijalankan di Auditorium Kompleks Rawatan Harian (ACC), Hospital Pulau Pinang itu turut melibatkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Asmayani Khalib; Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar.

Kon Yeow memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Pulau Pinang dengan menjadi individu pertama di negeri berkenaan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 28 Februari lalu.