Rumah sorok syabu RM35 juta diserbu

Abdul Hamid (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kajang, Selangor pada Rabu.
Abdul Hamid (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kajang, Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah rumah di Kajang, Selangor yang menyimpan 983 kilogram (kg) dadah bernilai lebih RM35 juta diserbu pada Rabu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, operasi sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bermula jam 9.15 malam itu berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 37 hingga 42 tahun.

"Pemeriksaan di dalam rumah menjumpai 26 guni berisi 650 bungkusan dadah jenis syabu seberat kira-kira 673.2 kg.

Abdul Hamid (tengah) pada sidang akhbar di IPK Selangor berkenaan kejayaan menumpaskan sindiket dadah di Kajang, Selangor.
Abdul Hamid (tengah) pada sidang akhbar di IPK Selangor berkenaan kejayaan menumpaskan sindiket dadah di Kajang, Selangor.

"Susulan itu, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah lori di hadapan rumah tersebut menjumpai 12 guni berisi 299 bungkusan dadah jenis syabu seberat 309.85 kg," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Abdul Hamid berkata, pihaknya percaya keseluruhan dadah bernilai RM35.3 juta itu dibawa masuk dari negara jiran di utara Semenanjung dengan melalui Kelantan.

Katanya, siasatan mendapati dua suspek terbabit berperanan sebagai 'transporter' manakala seorang lagi adalah pemilik rumah yang masing-masing menerima habuan yang tinggi.

"Kita sedang dalam usaha mengesan dalang sindiket terbabit. Kita percaya sindiket ini telah aktif sejak Januari lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah dan dadah kini direman enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis merampas dadah bernilai RM35.3 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Kajang, Selangor pada Rabu.
Polis merampas dadah bernilai RM35.3 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Kajang, Selangor pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, JSJN berjaya menumpaskan 56 sindiket dengan tangkapan 217 orang sepanjang tempoh Januari hingga Februari tahun ini.

Jelasnya, ada empat modus operandi utama dikenal pasti iaitu penyeludupan melalui jalan laut, menggunakan perkhidmatan kurier, khidmat kenderaan pengangkutan barang dan e-hailing.

"Sepanjang tempoh itu juga, JSJN telah merampas 70,193.73 kg pelbagai jenis dadah, 9,752.46 liter cecair dadah bernilai RM245.22 juta selain 61,716.58 kg daun ketum bernilai RM617,165.80," katanya.