Tiada masalah ahli Parlimen bersidang di Dewan Rakyat: Anwar

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak ada masalah untuk ahli Parlimen bersidang di Dewan Rakyat walaupun semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Beliau turut mengambil contoh apabila bola sepak boleh diteruskan dan panggung wayang kini juga boleh berjalan.

“Jadi, ia menunggu keputusan Perdana Menteri. Kalau kita tahu dalam kaedah Perlembagaan dan institusi negara kita bahawa Yang di-Pertuan Agong memberikan pandangan begitu, maknanya memberi gambaran yang jelas bahawa pandangan kerajaan itu tidak tepat untuk menggantung Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama ahli Parlimen pembangkang mengenai pelbagai perkara di Dewan Rakyat pada Isnin.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan tetap menegaskan persidangan Parlimen hanya akan bermula selepas tempoh darurat tamat.

Mengulas lanjut, Anwar menambah, ahli Parlimen pembangkang akan terus dengan tindakan membantah perisytiharan darurat yang dibuat terutamanya penggantungan Parlimen.

Anwar mendakwa, perkara berkenaan juga meletakkan negara ini seperti Myanmar.

Artikel Berkaitan:

“Jadi bila Perdana Menteri menegur Myanmar, Myanmar pun patut tegur Perdana Menteri bahawa tidak ada sebab yang munasabah untuk menggantung Parlimen,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, antara perbincangan lain diadakan oleh ahli Parlimen pembangkang adalah mengenai Covid-19 seperti langkah yang diambil bagi menggalakkan rakyat mengambil vaksin.

“Kita juga minta supaya keputusan Kementerian Kesihatan dan kerajaan itu mengambil kira pandangan pakar-pakar lain,” katanya.

Menurut Anwar, ahli Parlimen pembangkang juga telah memutuskan perlu diadakan satu jawatankuasa berkenaan ekonomi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ini kerana masalah pengangguran di negara ini adalah serius.