X

Kindly register in order to view this article
!

Ijazah palsu: Menteri Pendidikan perlu bertindak

Dr Raduan - Foto Astro Awani
A
A

PUTRAJAYA - Penggunaan sijil akademik yang dipertikai kesahihan dalam kalangan anggota kerajaan dan ahli politik perlu diberi perhatian segera oleh menteri pendidikan, kata Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

Beliau berkata, walaupun kelayakan akademik bukan satu keperluan untuk menceburi bidang politik, menggunakan sijil diragui kesahihannya untuk meraih sesuatu kedudukan merupakan kesalahan serius dalam konteks pendidikan.

"Pertikaian berkaitan pengijazahan dan pendidikan merupakan isu negara dan menteri berkenaan tidak harus membiarkannya menjadi satu polemik yang tidak berkesudahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu ijazah palsu: Pemimpin PH perlu beri penjelasan

"Jadi, MPN merasakan Menteri Pendidikan harus melihat isu ini secara dekat dan segera membuat pernyataan umum mengenainya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Raduan berkata, sijil adalah satu testimoni yang memperakui atau melengkapi satu proses pembelajaran kerana untuk memilikinya seseorang itu perlu melalui beberapa proses bersandarkan tiga perkara iaitu Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU), Akta Pendidikan Swasta 1996 dan Agensi Kelayakan Kebangsaan 2007.

Beliau berkata, tiga institusi itu merupakan badan khusus sebagaimana dilaksanakan di negara lain yang diberi hak mengurus hal berkenaan kredibiliti dan integriti semua sijil pengajian tinggi dalam negara, bermakna pemilikan sijil akademik tanpa melaluinya dianggap sebagai tidak sah.

Raduan berkata, walaupun tiada peruntukan mengatakan lantikan politik ke dalam perkhidmatan kerajaan seperti menjadi menteri atau timbalan menteri memerlukan sijil akademik tetapi MPN, sebagai badan pemikir, berpandangan selain pengalaman, mereka yang dilantik perlulah mempunyai pengetahuan teknikal terhadap portfolio dipegang.

Mengakui ia bukan satu pelanggaran undang-undang sehingga dakwaan penggunaan sijil akademik palsu dibuktikan benar, beliau berkata, isu itu perlu dilihat dalam konteks integriti terutamanya kepada individu tersebut serta pihak yang melantiknya ke kedudukan berkenaan.

“Integriti merupakan satu hal yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan, apatah lagi jika ia melibatkan individu diberi kepercayaan untuk membuat sesuatu keputusan atau dasar sesebuah negara,” katanya.

Isu keaslian sijil akademik tercetus selepas warganet mendedahkan beberapa pimpinan kerajaan tidak memiliki ijazah daripada universiti sepertimana yang dilaporkan dalam latar belakang pendidikan masing-masing. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!