Padah buat laporan palsu hilang MyKad

Empat individu didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kuala Selangor selepas didapati bersalah membuat laporan palsu.
Empat individu didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kuala Selangor selepas didapati bersalah membuat laporan palsu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Tiga individu masing-masing didenda RM2, 000 di Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini pada Isnin selepas mengaku membuat laporan polis palsu disamun dan diragut yang menyebabkan mereka kehilangan kad pengenalan pada Februari dan Mac lalu.

Majistret Roslizi Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Hafizal Abdul Manan, 39, H Narendran, 27, dan Amin Kadir, 57, dalam prosiding berasingan sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Hafizal yang juga pemandu lori didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Jeram berkaitan kejadian samun pada jam 3.36 petang, 13 Februari lalu.

Tertuduh kedua, Narendran yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Bestari Jaya.

Narendran membuat laporan berkaitan beg silang yang mengandungi dokumen penting disamun pada jam 11.42 tengah hari, 9 Mac lalu.

Seorang lagi tertuduh, Amin pula didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Tanjong Karang mendakwa disamun pada jam 5.32 petang, 25 Februari lalu.

Tiga tertuduh itu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Kenneth Oon memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kerana menyusahkan penjawat awam menjalankan tugas selain terdapat kes tinggi berhubung kesalahan itu di daerah Kuala Selangor.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan.

Polis Selangor mendedahkan menerima sebanyak 137 laporan polis palsu berhubung jenayah samun dan ragut bagi mengelakkan didenda kerana kehilangan kad pengenalan.

Pecahan jumlah itu masing-masing sebanyak 107 sepanjang tahun lalu dan 30 laporan sehingga Januari tahun ini.