RM500,000 jika hilang upaya, mati akibat vaksin Covid-19

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju untuk memberi RM500,000 sebagai bantuan khas kewangan kesan mudarat Covid-19 kepada rakyat tempatan dan warga asing di negara ini sekiranya berlaku hilang upaya kekal ataupun kematian disebabkan suntikan pelalian itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan RM50,000 jika berlaku kesan sampingan serius kepada penerima vaksin Covid-19 yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.

"Sebagai permulaan kerajaan menyediakan dana RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya pada sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini pada Isnin.

Menurutnya, bantuan kewangan tersebut merupakan langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlakunya kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin Covid-19.

"Selain Itu, bantuan ini akan dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga berkemungkinan terjejas akibat kesan daripada pengambilan vaksin ini kelak," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan tiga jawatankuasa di peringkat kementerian bagi memantau dan menilai kesan mudaratnya susulan imunisasi dan isu keselamatan yang berkaitan dengan vaksin Covid-19.

"Pertama, Jawatankuasa Farmakovigilans Khas bagi Pemantauan Vaksin Covid-19 bagi memantau dan menilai kesan mudarat susulan imunisasi (AEFI) dan isu keselamatan yang berkaitan dengan vaksin," katanya.

Dr Adham berkata, Jawatankuasa Teknikal Perubatan ditubuhkan untuk menentukan sama ada kes permohonan bantuan khas kewangan mempunyai hubung kait (causal relationship) dengan vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Penilaian akan dibuat secara case to case basis berdasarkan bukti yang diterima dan laporan Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Bagi Pemantauan Vaksin Covid-19.

"Ketiga, Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 turut dibentuk untuk memberi kelulusan bantuan khas kewangan berdasarkan keputusan kedua-dua jawatankuasa," katanya.

Tambah Dr Adham, bantuan kewangan akan diberikan kepada penerima vaksin terkesan setelah dinilai oleh tiga jawatankuasa berkenaan.

"Bayaran akan dibuat oleh Nadma kepada penerima vaksin yang terkesan," katanya.

Menurutnya, kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dan penerima vaksin Covid-19.

"Kerajaan juga terus berusaha meningkatkan keyakinan masyarakat bagi menerima suntikan vaksin ini," katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, daripada 400,000 penerima vaksin, 60 peratus melaporkan keletihan dan kelesuan.

"Seramai 10 peratus mengalami bengkak dan kemerahan pada tempat suntikan," katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan 50 peratus penerima vaksin mengalami sakit kepala.

"Ada yang turut mengalami sakit otot, sakit badan dan demam," katanya.

Beliau berkata, kesan sampingan yang dialami penerima vaksin tidak berpanjangan.

"Ia berlaku biasanya dalam tempoh dua hari selepas menerima suntikan vaksin dan (ia) tidak membimbangkan," katanya.