Masalah kecederaan pemain punca United tewas

United tewas kepada Leicester City dalam aksi suku akhir di Stadium King Power.
United tewas kepada Leicester City dalam aksi suku akhir di Stadium King Power.
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan kecederaan pemain yang sedang membelenggu pasukan itu sebagai faktor The Red Devils tewas kepada Leicester City 1-3 dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium King Power pada awal pagi Isnin.

Menurut Solskjaer, dia terpaksa merehatkan beberapa pemain utama kerana kurang cergas dan tidak mempunyai pemain yang berada pada tahap terbaik untuk mengisi kekosongan tersebut.

"Sudah tentu, kami kecewa kerana kami tersingkir kerana beberapa faktor antaranya kecederaan dan terpaksa bermain banyak perlawanan. Saya tidak mahu membuat alasan tetapi saya cuba mencari penjelasan dan penjelasannya ialah ada beberapa pemain yang kembali dalam pasukan selepas kecederaan tetapi kurang latihan.

"Mereka tidak bermain dalam beberapa perlawanan dan ada pemain yang telah bermain banyak perlawanan dan tidak cergas. Kami bolos gol mudah yang biasanya tidak kami buat dan ia menjadi bertambah sukar menentang pasukan bagus seperti Leicester," katanya.

Pemain tengah United, Paul Pogba kembali membarisi kesebelasan utama The Red Devils selepas mengalami kecederaan, namun Bruno Fernandes bermula di bangku simpanan sehingga babak kedua, manakala Marcus Rashford tidak disenaraikan dalam skuad United.

Dalam perlawanan itu, penyerang Leicester, Kelechi Iheancho meledak dua gol selain satu gol daripada Youri Tielemans yang sekali gus menyingkirkan United daripada pemburuan kejuaraan Piala FA.

Dalam masa sama, Solskjaer percaya dia perlu menghadapi situasi kecederaan tersebut dan percaya para pemainnya sedar mengenai apa yang sedang berlaku dalam pasukan.

"Saya rasa kami sedang membina pasukan yang boleh beradaptasi dengan masalah ini. Tetapi, kami menghadapi tujuh kecederaan di satu posisi yang sama. Itu menyebabkan ramai pemain terpaksa bermain banyak perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Kami sedang menyesuaikan diri dan jika kami mahu berjaya kami perlu mengatasinya. Saya tidak rasa ada sesiapa di dunia atau England sedang menghadapi situasi ini dan saya bangga dengan pemain saya.

"Mereka telah menunjukkan prestasi dan persembahan yang baik, namun hari ini kami tidak mendapat rentak dan ia sesuatu yang boleh berlaku dalam bola sepak," katanya.