Projek CSR dijangka siap menjelang 2023

Menteri Kerja Raya Baru Bian bersama timbalanya Mohd Anuar Mohd Tahir ketika hadir bagi melihat Projek Jambatan Sungai Yu (Jambatan Eco Viaduct) sempena Siri Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya Zon Timur 2.0 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kerja Raya Baru Bian bersama timbalanya Mohd Anuar Mohd Tahir ketika hadir bagi melihat Projek Jambatan Sungai Yu (Jambatan Eco Viaduct) sempena Siri Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya Zon Timur 2.0 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LIPIS - Projek Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Bentong, melibatkan pembinaan laluan sepanjang 421.4 km kini sudah siap 16 peratus atau 68.13km daripada jumlah keseluruhan jajaran berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, 16 peratus lagi atau 68km laluan tersebut kini dalam proses pembinaan, 22 peratus (91km) dalam proses perolehan, manakala 46 peratus (193.8km) masih di peringkat perancangan.

“Projek CSR dianggarkan menelan kos RM10 bilion ini pun dimulakan secara berperingkat dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan di Pahang sendiri jajaran sepanjang 123.3 kilometer sudah dilulus untuk dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya projek bernilai RM10.7 bilion itu dibahagikan pembinaannya kepada enam pakej utama dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2023.

Beliau yang dalam rangka siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 2019 berkata demikian ketika melawat Sungai Yu Eco Bridge di sini hari ini yang turut disertai Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Jambatan berkenaan adalah jambatan Eco Viaduct hidupan liar yang terpanjang pernah dibina di Malaysia dan juga laluan khas untuk hidupan liar antara Banjaran Titiwangsa dan Taman Negara.

Pembinaannya selaras dengan ‘Central Forest Spine Master Plan’ yang dicetuskan kerajaan pusat untuk menghubungkan empat kawasan hutan utama di Semenanjung Malaysia dengan rangkaian koridor ekologi hijau sebagai kawasan pelindung hidupan liar.

Jambatan itu merupakan sebahagian daripada Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kampug Relong, Pahang melibatkan kos pembinaan RM61.5 juta.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Program Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 yang disertai 100 delegasi bermula hari ini dari Putrajaya akan berlangsung selama tiga hari.

Rombongan diketuai Bian itu turut disertai pengurusan tertinggi kementerian dan Rakan Kementerian Kerja Raya akan menjelajah ke Pahang, Terengganu dan Kelantan dalam usaha kementerian untuk memberi nafas baharu dan perspektif positif jalan persekutuan sebagai jalan utama.

“Hasil tinjauan pada hari pertama jelajah hari ini saya dapati ada keperluan penyelenggaraan di jalan persekutuan perlu dipertingkatkan, namun kita berhadapan dengan cabaran agihan peruntukan.

“Pada tahun ini, kita hanya mendapat peruntukan RM100 juta dan peruntukan tambahan RM610 juta selepas diminta daripada Kementerian Kewangan, namun jumlah itu masih belum mencukupi,” katanya. - Bernama