Enam maut termasuk kanak-kanak akibat bedilan meriam tentera Syria

Seorang lelaki berjalan melintasi pintu masuk ke sebuah hospital di Atareb yang mengalami kemusnahan akibat terkena bedilan meriam tentera Syria pada Ahad. - Foto AFP
Seorang lelaki berjalan melintasi pintu masuk ke sebuah hospital di Atareb yang mengalami kemusnahan akibat terkena bedilan meriam tentera Syria pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

DAMSYIK - Enam orang awam termasuk seorang kanak-kanak terbunuh selepas sebuah hospital awam dibedil dengan meriam rejim tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad di bandar Atareb, wilayahIdlib pada Ahad, lapor pertubuhan Pemantau Untuk Hak-Hak Asasi Manusia Syria.

Menurut pertubuhan itu, bedilan meriam itu mengenai pintu masuk ke hospital tersebut yang terletak di dalam sebuah gua, lapor AFP.

Ia turut menyebabkan seorang kakitangan hospital terbunuh dan mencederakan 11 yang lain.

"Rejim Assad sekali lagi melakukan serangan ganas terhadap orang awam yang tidak bersalah," kata Kementerian Pertahanan Turki dalam satu kenyataan seperti dilaporkan oleh portal Daily Sabah.

Idlib merupakan satu-satunya wilayah masih dikuasai oleh kumpulan Hayat Tahrir al Sham yang ditubuhkan pada tahun 2017 dan dianggotai oleh bekas-bekas anggota bersekutu Al-Qaeda serta menentang pemerintahan Bashar.

Wilayah bersempadan dengan Turki itu dihuni oleh 2.9 juta penduduk tetapi dua pertiga

daripada penduduknya hilang tempat tinggal ekoran peperangan yang berlaku di Syria bagi menggulingkan pemerintahan Assad sejak tahun 2011.

Serangan itu berlaku walaupun terdapat gencatan senjata antara kumpulan yang menentang pemerintahan Assad yang mendapat sokongan Turki itu dengan Rusia sejak Mac tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Gencatan senjata itu dipersetujui antara Turki dan Syria bagi melindungi kawasan tersebut, sekali gus menamatkan kempen pengeboman Moscow bagi membantu kerajaan Syria dalam perang saudara di negara tersebut.

Lebih 388,000 orang terbunuh dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal sejak perang saudara bagi menyingkirkan Assad sebagai Presiden Syria berlaku pada tahun 2011.

Peperangan itu bermula selepas pasukan keselamatan negara itu menggunakan kekerasan bagi menyuraikan tunjuk perasaan anti-Assad di negara berkenaan. - Agensi