Rakyat Indonesia diculik Abu Sayyaf di Sabah diselamatkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JAKARTA - Seorang lagi rakyat Indonesia yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf di Sabah, Malaysia pada Januari 2020 berjaya diselamatkan pihak berkuasa Filipina pada Ahad.

Mangsa merupakan remaja lelaki berusia 14 tahun hanya didedahkan namanya sebagai ‘MK’ diselamatkan di Pulau Kalupag dalam satu operasi pasukan pihak berkuasa Filipina susulan tiga rakyat Indonesia yang diselamatkan pada Khamis lepas.

Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan menyatakan, keempat-empat mereka yang berasal dari Kabupaten Wakatobi, Sulawesi Tenggara dilaporkan sihat dan dalam proses untuk dihantar pulang ke Indonesia.

Pada 18 Mac, penyelamatan dilakukan pada Khamis petang di perairan Tawi-Tawi, ketika bot yang digunakan kumpulan itu (Abu Sayyaf) yang membawa tiga warganegara Indonesia berkenaan terbalik akibat dipukul ombak.

Mereka (tebusan) cuba dipindahkan kumpulan itu dari Indanan, Sulu ke tempat lain selepas terdapat operasi bersepadu pasukan keselamatan Filipina.

Semua mangsa (termasuk yang terbaharu) dibawa ke Zamboanga dan akan diterbangkan ke Manila untuk proses penghantaran pulang ke Indonesia.

Pada 16 Januari lalu, lima nelayan warga Indonesia yang bekerja di bot nelayan Malaysia, diculik kumpulan berkenaan ketika berada di perairan Tambisan, Sabah, Malaysia.

Seorang lagi mangsa culik, La Baa, 32, ditemukan mati dibunuh pada 28 September 2020 di Patikul, Sulu, Filipina. - Bernama

Artikel Berkaitan: