X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Selain PH, UMNO kena hukum juga dalang pro Bersatu

ABDUL RAHMAN
A
A

SHAH ALAM - Hukuman dan tindakan disiplin bukan sahaja perlu dikenakan terhadap mana-mana pemimpin UMNO yang menggerakkan agenda kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), bahkan juga membabitkan mereka yang 'mesra' Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abdul Rahman Bakri berkata, pihaknya mengambil maklum perkara dijelaskan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tindakan disiplin akan dikenakan sekiranya terdapat ahli dan pemimpin UMNO didapati menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Lembaga Disiplin UMNO juga perlu bersikap adil dengan mengenakan tindakan sama terhadap mana-mana pemimpin UMNO yang bekerjasama dengan Bersatu sebagaimana diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti awal bulan ini.

"Saya menyokong kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri yang menggesa tindakan disiplin dikenakan terhadap mana-mana pemimpin UMNO cuba bekerjasama dengan PKR-DAP termasuk Presiden parti (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) kerana itu dasar parti.

"Namun, jika beliau bercakap mewakili MKT, maka beliau perlu mengambil kira keputusan badan tertinggi parti yang turut memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

"Tindakan disiplin juga perlu dikenakan terhadap mana-mana pemimpin yang bekerjasama dengan Bersatu sebagaimana diputuskan MKT," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Semalam, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) menyatakan UMNO boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpinnya yang bekerjasama dengan PKR atau DAP.

Sebelum itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan sedang mengadakan rundingan dengan pemimpin UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pendedahan itu amat mengejutkan akar umbi parti itu dengan beberapa pemimpin utama seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan tidak tahu-menahu mengenainya.

Pada 4 Mac lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan sepucuk surat diutus kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan sebulat suara Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Bagaimanapun, Ahmad menjelaskan MKT UMNO turut berpendapat kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Pada 27 dan 28 Mac ini, UMNO mengumumkan akan mengadakan PAU 2020 secara bersemuka dan siaran maya setelah ia ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berpandangan Ahmad Zahid tiada pilihan lain kecuali kembali mempertahankan ideologi dan perjuangan asal parti untuk memperjuangkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai tawaran baharu UMNO kepada rakyat.

Jelas beliau, tawaran baharu bagi mempertahankan hak ketuanan Melayu itu adalah jauh lebih penting daripada perancangan strategi bekerjasama dengan mana-mana parti lain semata-mata untuk kepentingan berkuasa.

"UMNO sekarang terbawa-bawa dengan strategi mencari jalan untuk terus berkuasa, sama ada hendak kerjasama dengan Bersatu atau PH.

"Sedangkan UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan ideologi mempertahankan hak istimewa orang Melayu di negara berdaulat ini.

"Daripada kita sibuk berbincang soal kerjasama dengan parti apa dan berunding jajaran politik di sana atau sini, lebih baik kita buat tawaran politik lebih ikhlas memperjuangkan kepentingan kaum Melayu dan agama Islam. Biar rakyat tentukan sama ada mereka mahu kita kembali memerintah pada PRU15 atau menjadi pembangkang kuat," katanya.

Tajuddin turut berharap Ahmad Zahid dan kepimpinan UMNO lebih tegas mengemukakan pendirian parti yang selari dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan pada PAU 2020 kelak.

"Sebenarnya jika kita lebih menumpukan strategi menawan kembali sembilan negeri yang pernah dikuasai UMNO sebelum ini, kita sudah tidak perlu terikat dengan keperluan mengawal sokongan 222 ahli Parlimen bagi mentadbir negara.

"Kuasa terulung terletak pada bidang kuasa kerajaan negeri yang dipayungi kuasa Raja-raja Melayu. Kuasa pentadbiran pusat dan Dewan Rakyat hanya diperkenalkan pada zaman British bagi mengurangkan pengaruh negeri-negeri," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!