Remaja 16 tahun ditahan buat aksi 'wheelie'

Remaja lelaki yang ditahan kerana melakukan aksi 'wheelie' dalam Ops Samseng Jalanan di Seremban pada malam Ahad sehingga awal pagi Isnin.
Remaja lelaki yang ditahan kerana melakukan aksi 'wheelie' dalam Ops Samseng Jalanan di Seremban pada malam Ahad sehingga awal pagi Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan tiga lelaki dalam Ops Samseng Jalanan yang diadakan di sekitar Taman Matahari Heights, Senawang di sini pada Ahad.

Operasi bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan itu bermula pada jam 10 malam sehingga 2.30 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam operasi berkenaan, polis telah menahan seorang remaja berumur 16 tahun kerana melakukan aksi 'wheelie'.

Beliau berkata, remaja berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu menunggang secara melulu dan berbahaya dengan menunggang motosikal dengan membuat aksi mengangkat tayar hadapan.

"Selain itu kita turut menahan dua lelaki berumur 29 dan 41 tahun kerana kesalahan berkaitan dadah.

"Kedua-dua lelaki ini merupakan orang yang dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata, operasi berkenaan turut menyaksikan sebanyak dua motosikal disita di bawah kesalahan ubah suai.

"Sebanyak 37 saman polis dan 33 notis saman JPJ telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi berlangsung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi itu dianggotai seramai tiga pegawai dan sembilan anggota dari BSPT IPD Seremban bersama seorang pegawai dan tujuh anggota dari JPJ Negeri Sembilan.