Kanak-kanak tunggang basikal maut dilanggar jiran

Lokasi kemalangan di mana seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut dilanggar sebuah kenderaan SUV ketika menunggang basikal di hadapan rumah di Kampung Tok Sani, Butterworth pada petang Ahad.
Lokasi kemalangan di mana seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut dilanggar sebuah kenderaan SUV ketika menunggang basikal di hadapan rumah di Kampung Tok Sani, Butterworth pada petang Ahad.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dilanggar sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang wanita di Kampung Tok Sani di sini pada petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa, Mohamad Aqil Aimar Ismail dikatakan sedang menunggang basikal di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Beliau berkata, mangsa yang sebelum itu cedera parah dibawa pemandu kenderaan jenis Toyota Fortuner berusia 32 tahun itu ke hospital untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.05 petang.

"Kejadian berlaku ketika pemandu wanita itu keluar dari kawasan rumahnya di kampung tersebut ke sebuah madrasah di Bagan Lalang untuk menziarah anaknya.

"Bagaimanapun, ketika dia membelok ke kiri, tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat lalu turun dari kenderaannya untuk pemeriksaan. Wanita itu terkejut apabila mendapati dia terlanggar seorang kanak-kanak dari arah kiri jalan.

"Mangsa dan pemandu wanita tersebut merupakan jiran yang mana rumah mereka terletak berhampiran di kampung tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Noorzainy berkata, wanita berkenaan terus membawa kanak-kanak itu ke HSJ untuk rawatan selepas mendapati mangsa mengalami cedera parah.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah pada kepala.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.