Vaksin sebagai perisai

A
A
A

NIKMAT kehidupan yang aman tidak mungkin wujud tanpa kawalan keselamatan dalam dan luar negara.

Adalah menjadi kewajipan bagi kerajaan yang memerintah untuk memastikan aspek keselamatan dan keamanan dapat dikekalkan sepanjang masa agar penduduk dapat hidup dalam keadaan sentosa.

Di negara kita, agensi yang terlibat secara langsung dalam hal keselamatan negara daripada ancaman luar ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Walaupun aman, latihan demi latihan diadakan setiap masa agar anggota tentera sentiasa bersedia menghadapi perang.

Analogi yang sama dapat digunakan dalam hal vaksin sebagai usaha mencegah penularan virus Covid-19.

Ada pihak, terutama golongan antivaksin, mengatakan tiada gunanya mengambil vaksin Covid-19 kerana masih boleh dijangkiti virus tersebut. Bagi mereka, jika selepas diberikan vaksin, masih perlu pakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal serta mematuhi SOP, buat apa cucuk?

Jika vaksin tidak dapat melindungi daripada jangkitan, buat apa ambil vaksin? Di luar negara pula terdapat beberapa kes doktor dan jururawat meninggal dunia setelah dijangkiti Covid-19 walaupun telah diberi vaksin.

Jadi apa guna vaksin kalau masih boleh dijangkiti? Ini antara persoalan yang dilontarkan atau hujah yang digunakan.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang tidak tahu ilmu perubatan dan tidak memahami konsep bagaimana vaksin itu bertindak pasti tidak faham.

Mereka membincangkan perkara yang tidak difahami ini dalam grup yang sama-sama keliru. Kekeliruan ini disebarkan pula melalui media sosial.

Kemudian muncul pula pakar segera hasil daripada carian Google yang membuat ulasan walaupun bukan ahli dalam bidang berkenaan.

Mereka menggunakan pseudosains dan menciplak artikel daripada Google lalu membuat ulasan sendiri dengan kefahaman cetek mereka terhadap sesuatu isu.

Walaupun negara kita dalam keadaan aman tanpa adanya perang, latihan yang dijalani oleh anggota tentera siang dan malam adalah persiapan bagi mereka untuk mempertahankan negara sekiranya ada keperluan.

Sama juga dengan vaksin. Vaksin adalah salah satu daripada usaha kita untuk mencegah sebaik mungkin.

Tujuan vaksin adalah untuk melatih antibodi kita melawan virus Covid-19, sama ada jangkitan dalam komuniti mahupun berhubung rapat dengan kes yang sudah positif.

Maksudnya, apabila kita diberi suntikan vaksin, kita masih berisiko untuk dijangkiti tetapi vaksin akan membantu badan kita melawan virus berkenaan.

Jika antibodi kita sudah dilatih untuk melawan virus Covid-19, badan kita kenal dan tahu cara berkesan untuk membunuh virus tersebut dengan cepat.

Ini akan menggagalkan virus daripada membiak dan kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain akan menjadi sangat rendah.

Inilah yang dimaksudkan dengan imuniti berkelompok apabila sebahagian besar penduduk Malaysia sudah menerima vaksin Covid-19.

Selain daripada pematuhan terhadap SOP, vaksin adalah salah satu daripada kaedah untuk mencegah. Ia adalah bentuk ikhtiar yang perlu kita lakukan. Dalam Islam, ikhtiar adalah wajib dan umat Islam tidak boleh menyerah diri tanpa usaha. Usaha itu penting dan dalam hal Covid-19, ia menjadi wajib untuk mengelak penularan jangkitan lebih besar.

Bagi mereka yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera, jom daftar sekarang. Lindungi diri kita serta orang yang kita sayang.

Tujuan vaksin adalah untuk melatih antibodi kita melawan virus Covid-19, sama ada jangkitan dalam komuniti mahupun berhubung rapat dengan kes yang sudah positif.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia