Bela nasib rakyat, kukuh ekonomi

No Image Caption
A
A
A

RABU minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengumumkan inisiatif kerajaan untuk membela nasib rakyat dan kukuhkan ekonomi negara.

Sejak negara berada dalam krisis kesihatan pandemik Covid-19, kerajaan telah mengumumkan pelbagai strategi dan inisiatif melalui pakej rangsangan ekonomi untuk membela nasib rakyat.

Ramai rakyat yang terkesan dengan krisis kesihatan ini.

Tidak kira mereka yang makan gaji dengan bekerja di sektor awam mahupun swasta atau mereka yang bekerja sendiri dan berniaga, mereka ini menjadi ‘mangsa᾿ pandemik Covid-19.

Justeru, inisiatif kali ini yang merupakan peringkat kelima strategi kerajaan untuk menjaga keseluruhan ekosistem ekonomi yang perlulah dilihat bukan setakat dari sudut ekonomi semata-mata, tetapi juga dari sudut sosial.

Hal ini cukup penting kerana di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), kerajaan mengumumkan peruntukan RM20 bilion untuk menampung 20 inisiatif strategik.

Bantuan diberikan antaranya seperti RM1.2 bilion peruntukan kepada golongan B40 yang telah kehilangan pekerjaan dan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah, RM100 juta bantuan barangan dapur kepada 300,000 isi rumah dan RM20 juta bantuan kepada golongan usahawan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas sedikit sebanyak membantu rakyat untuk menghadapi suasana ekonomi yang amat suram sejak Covid-19 melanda negara.

Pemerkasa juga membantu mereka yang terlibat dalam projek berskala kecil seperti kontraktor kelas G1 hingga G4 dan kemudahan mikrokredit untuk peniaga-peniaga kecil.

Artikel Berkaitan:

Bantuan juga disasarkan kepada 5,000 agensi pelancongan dengan bayaran RM3,000 sekali bayar.

Begitu juga bantuan sebanyak RM600 sekali bayar kepada pengusaha inap desa (homestay). Kedua-dua golongan ini perlulah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Meskipun keadaan ekonomi negara mula bergerak lancar sedikit demi sedikit ekoran kes jangkitan Covid-19 mula menurun dan kerajaan juga telah beransur-ansur melonggarkan kawalan ekonomi agar ekonomi dapat diperkasakan pada tahap yang lebih baik, namun aspek lain selain ekonomi seperti masalah sosial rakyat Malaysia juga perlu diberikan perhatian.

Maka mahu tidak mahu kita semua mengetahui ada dalam kalangan masyarakat tertekan dengan Covid-19. Ini lebih-lebih lagi bagi golongan yang kehilangan punca pendapatan ekoran telah diberhentikan pekerjaan mahupun tidak dapat bekerja seperti biasa ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seimbangkan ekonomi

Keadaan ini boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental seseorang. Malah ada rakyat Malaysia masih tidak pulang mengunjungi ibu bapa sendiri sejak 18 Mac tahun lalu hanya kerana semata-mata untuk memastikan kesihatan ibu bapa terjaga.

Kerajaan sudah tentu mengetahui hal ini. Atas sebab itu, kerajaan pada minggu lalu telah mengumumkan bahawa PKP hanya dilaksanakan secara lokaliti dan tertumpu bukannya secara menyeluruh.

Ini sedikit sebanyak melegakan rakyat Malaysia untuk bergerak bagi mencari rezeki dan bersosial sesama mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Dengan kata lain, kerajaan berusaha menyeimbangkan antara ekonomi dan kesihatan serta kehidupan sosial masyarakat Malaysia.

Dengan peruntukan tambahan RM2 bilion untuk program imunisasi melalui suntikan vaksin Covid-19, sudah tentu ia memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia agar Covid-19 berakhir.

Meskipun ada segelintir masyarakat masih ragu-ragu dengan vaksin Covid-19, namun jumlah ini semakin hari semakin berkurangan. Buktinya semakin ramai yang mendaftar untuk diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Yakinilah bahawa tindakan kerajaan ini untuk menjaga kesihatan seluruh rakyat Malaysia. Usah ragu-ragu kerana sudah banyak pendapat dalam kalangan pakar-pakar kesihatan dan perubatan yang menyokong pengambilan suntikan vaksin Covid-19.

* Profesor Madya Dr Rohami Shafie ialah Pengarah Institut Kajian Strategik dan Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD) Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia