Mesej sampai ke hati penonton

Rajay Singh, Intan Sham, Aiman Aliff
Rajay Singh, Intan Sham, Aiman Aliff
A
A
A

VIDEO tiga bahasa kempen Rasuah Busters yang dihasilkan syarikat produksi terkenal, Directors Think Tank Sdn Bhd digarap dalam bentuk komedi supaya mesej antirasuah dapat terus sampai ke hati penonton.

Penerbit Eksekutifnya, Intan Sham berkata, garapan itu menjadikan tiga filem pendek dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil itu berbeza daripada karya lain yang dihasilkan syarikat itu sebelum ini.

“Kita hasilkan filem pendek ini dalam bentuk komedi supaya rakyat bukan sahaja terhibur ketika menontonnya, tetapi pada masa sama dapat cepat tangkap mesej yang kita ingin sampaikan.

“Kita tahu rasuah adalah isu sensitif, jadi kita sampaikan mesej dalam bentuk santai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, penghasilan video itu dilakukan dengan kerjasama pasukan Rasuah Busters yang diterajui ketuanya yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Katanya, penglibatan Directors Think Tank itu juga sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat sebagai sebuah produksi swasta.

Sementara itu, pengasas merangkap pengarah filem Directors Think Tank, Rajay Singh berkata, video itu dihasilkan dalam tiga bahasa kerana ingin menyampaikan mesej secara terus kepada semua rakyat Malaysia dalam bahasa ibunda masing-masing.

“Video ini memaparkan watak seorang ibu yang sedang melakukan kerja rumah dan terjumpa duit rasuah dalam poket anak dan perkara itu menimbulkan kemarahan si ibu.

Artikel Berkaitan:

“Daripada situlah unsur pengajaran kita tonjolkan yang boleh dijadikan teladan kepada penonton,” katanya.

Katanya, menerusi filem itu, Directors Think Tank mengetengahkan pengarah muda, Aiman Aliff yang bertindak sebagai pengarah filem berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Aiman Aliff berkata, video itu ditonjolkan dalam tiga bahasa kerana rasuah melangkaui bangsa dan agama.

“Jadi kita tidak mahu mesej kita cuma tertumpu kepada satu bangsa sahaja sebaliknya kita mahu ia sampai secara menyeluruh.

“Dalam menghasilkan video ini kita juga berdepan cabaran dari segi untuk mencari pelakon yang sesuai untuk tiga watak mak kerana kita mahu pelakon itu mampu membawa emosi yang diperlukan dalam setiap babak,” katanya.

Aiman pernah memenangi anugerah pengarah baharu dalam majlis penganugerahan peringkat antarabangsa pada tahun lalu.

Directors Think Tank ditubuhkan pada tahun 2007 dan memiliki tiga pejabat masing-masing di Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta.

Syarikat produksi itu juga ketika ini mempunyai seramai 13 pengarah filem berbakat besar dan menghasilkan kira-kira 100 buah iklan komersial setiap tahun.

Menerusi karya kreatif yang dihasilkan, syarikat itu juga pernah menerima pelbagai pengiktirafan dan memenangi anugerah peringkat antarabangsa antaranya dalam Spikes Asia 2021 dan memenangi lima anugerah dalam Asia Pacific Advertising Festival (AdFest) 2020.