Sistem perundangan khas bendung kegiatan lanun digital

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (tengah) ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kuala Lumpur Digital Content Anti-Piracy Summit hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (tengah) ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kuala Lumpur Digital Content Anti-Piracy Summit hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi berkaitan bagi mewujudkan agensi dan sistem perundangan khas bagi membendung penularan kegiatan lanun digital.

Menterinya Gobind Singh Deo, berkata sudah tiba masa usaha agresif untuk meminda undang-undang berkaitan bagi memastikan tindakan tegas iaitu denda atau penjara yang lebih berat dan setimpal dirangka dalam tempoh terdekat.

Katanya, sindiket lanun digital itu mengaut keuntungan mudah menerusi pasaran kandungan digital yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, malah tidak gentar dengan perundangan atau hukuman sedia ada.

"Rungutan ini dibawa kepada perhatian saya iaitu setiap kali aduan dibuat mengenai lanun digital, ia ditolak dari satu agensi ke agensi lain, justeru lama-kelamaan ramai hilang kepercayaan terhadap sistem kita.

“Apabila tindakan diambil, kita lihat masalah ini sudah sukar dikawal, maka cadangannya ialah bagaimanauntuk bawa semua agensi berkaitan supaya diletakkan di bawah satu kementerian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Anticetak Rompak Kandungan Digital Kuala Lumpur, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di sini.

Gobind merupakan antara panel jemputan pada sesi perbincangan berhubung landskap cetak rompak digital dan gambaran keseluruhan mengenai isu-isu di Malaysia. Cynthia Ng dari Astro Awani mengacara sesi itu, yang turut disertai penerbit filem, Datuk Dr Yusof Haslam dan jurucakap selebriti, Lisa Surihani.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan agar penyelesaian yang dirangka adalah bersifat holistik dan menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Selain agensi terbabit, katanya, pihaknya turut melihat proses kehakiman, termasuk tempoh pendakwaan yang lebih berkesan supaya ia berupaya mencegah masalah sama daripada berulang.

“Kalau nak selesaikan masalah ini, pertama, aduan dibuat kepada agensi tertentu yang mempunyai kuasa untuk ambil tindakan dan siasat, kemudian bawa ke mahkamah dengan bidang kuasa khusus bagi menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Kita bincang di peringkat kementerian, sebelum bentangkan perincian ini kepada Kabinet,” katanya sambil menjelaskan tiada perundangan baharu bakal digubal, sebaliknya lebih kepada pindaan peruntukan berkaitan.

Gobind berkata, pindaan undang-undang berkaitan juga perlu dilaksanakan bagi memperkukuhkan usaha penguatkuasaan, termasuk langkah menyekat laman web yang dikesan menyiarkan kandungan digital tanpa lesen.

Katanya, matlamat utama ke arah tindakan agresif berkenaan ialah supaya sindiket lanun digital di Malaysia akhirnya takut untuk meneruskan operasi sehingga menyaksikan tiada penawaran perkhidmatan kepada pengguna.

Sementara itu, Yusof Haslam turut berkongsi pengalamanan dengan menyifatkan isu cetak rompak dan lanun digital berlarutan untuk sekian lama sehinggakan beliau sendiri turun padang dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjual cetak rompak filem Pasrah, arahan beliau, di kawasan Chow Kit di ibu negara.

"Saya buat laporan, pihak berkuasa ambil tindakan dan selepas satu minggu, perkara ini ulang balik. Inilah punca ramai penerbit muda enggan berkecimpung dalam industri penerbitan filem kerana patah semangat. Ada kalanya, sebelum gambar ditayangkan di panggung wayang, sudah keluar cetak rompak,” katanya.

Lisa Surihani pula menceritakan pengalamannya bagaimana seorang penjual DVD cetak rompak yang mahu mendapatkan tanda tangan beliau setelah melihat gambar (Lisa) di atas DVD cetak rompak yang dijualnya.

Anggota panel lain iaitu Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Pengarah dan Pengasas Media Partners Asia, Vivek Couto, yang menegaskan perlu ada sistem penguatkuasaan yang lebih tegas dalam membendung kegiatan lanun digital itu. - Bernama