X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat membilang syiling dalam poket

A
A

MALAYSIA tampaknya masih belum pulih sepenuhnya dalam mengharungi pandemik Covid-19, namun pada masa sama juga suhu politik turut sama ‘panas’.

Daripada isu desakan membuka semula sidang Parlimen sehinggalah isu lompat parti dan beli sokongan, kemelut politik memang tidak pernah selesai.

Penulis tidak mahu mempertikaikan permintaan segelintir pemain politik terhadap sesetengah isu, namun penulis merasakan ada perkara yang lebih besar sebenarnya yang perlu diberikan tumpuan.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sudah cukup memberikan kesan besar dari sudut ekonomi sehingga mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan.

Persoalannya apakah pemimpin-pemimpin ini menghiraukan rakyat di bawah yang ada yang sedang membilang baki-baki syiling dalam poket untuk membeli makanan?

Dalam situasi ketika ini, seharusnya baik pihak kerajaan atau pembangkang perlu duduk semeja bagi memikirkan cara yang terbaik bagi melonjakkan semula ekonomi negara.

Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis menerusi kenyataan pada sebuah media berkata, beberapa negara jiran secara komited mengetepikan krisis politik dan memfokuskan kepada pemulihan ekonomi.

“Krisis politik yang berterusan dilihat akan melemahkan ekonomi negara terutama ketika proses pemulihan susulan impak pandemik Covid-19.

“Jelas menunjukkan bahawa kalau berterusan berpolitik begini, ia akan secara perlahan melemahkan negara dan politik kita.

“Sudah tentu apabila kita lihat perkara ini dalam konteks yang makro, kita akan bakal lebih ketinggalan daripada negara-negara jiran kita yang sekarang ini lebih agresif melupakan hal politik,” katanya.Bantuan Pemain politik harus sedar bahawa perkara yang perlu menjadi keutamaan sekarang bukanlah merebut kuasa tapi bagaimana hendak mendahulukan rakyat yang tejejas.

Inilah masa yang paling sesuai untuk bersama membantu rakyat di bawah tanpa mengira agama atau bangsa.

Turunlah meninjau keadaan rakyat di bandar-bandar mahu pun di kampung yang memerlukan. Jangan ketika mengundi sahaja baru nampak muka, ketika menang hilang begitu sahaja.

Pemberian bantuan juga bukanlah mengajar rakyat menjadi malas sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang pemimpin dahulu, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab pemerintah dalam keadaan sukar seperti sekarang.

Tiada istilah beri tongkat, tiada istilah memanjakan sebaliknya ia adalah tanggungjawab.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin.

Suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Isteri juga pemimpin dalam mengendalikan rumah tangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumah tangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Penerangan hadis di atas jelas menyatakan bahawa pemimpin ada tanggungjawab terhadap orang yang dipimpin dan itu adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan.

Kita perlu sedar bahawa apa yang berlaku kini, sekiranya tidak dijaga dan diatur dengan baik, pastinya akan memberi kesan kepada anak cucu pada masa akan datang kelak kerana merekalah yang akan menjadi pelapis pemimpin.

Jadi kepada pemain politik, baik daripada pihak mana sekalipun, dengar dan lihatlah apa yang rakyat mahukan bukan hanya bercakaran sesama sendiri.

Boleh berpolitik tetapi biarlah berpada-pada, janganlah sampai orang benci dan meluat.

* Muhammad Aminuralif Mohd Zoki ialah Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!