Jangan gentar, Malaysia negara berdaulat

Kelihatan papan tanda Kedutaan Korea Utara ditanggalkan ketika tinjauan di premis kedutaan tersebut di Jalan Batai, Bukit Damansara pada Ahad. - Foto Bernama
Kelihatan papan tanda Kedutaan Korea Utara ditanggalkan ketika tinjauan di premis kedutaan tersebut di Jalan Batai, Bukit Damansara pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu bertegas dalam mendepani amaran dan provokasi Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik ekoran keputusan mahkamah Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS) yang menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Penganalisis politik dan profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zaid Ahmad berkata, dalam membuat apa-apa keputusan, Malaysia tidak perlu dipengaruhi mana-mana pihak kerana sebarang keputusan yang diambil adalah selari dengan konsep kedaulatan negara kita.

“Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat perlu bertindak serta berbuat sesuatu di atas kepentingan negara ini.

“Langkah yang diambil Malaysia adalah berasaskan lunas undang-undang dan pendirian negara dalam soal hubungan luar,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Konsulat Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song yang memberi peringatan keras terhadap Malaysia berhubung tindakan kerajaan dalam isu melibatkan rakyat warganegara republik itu.

Kakitangan serta keluarga Kedutaan Korea Utara tiba di KLIA sebelum menaiki pesawat komersial syarikat Shanghai Airlines penerbangan FM886 ke Pudong, China. - Foto Bernama (Dr Zaid Ahmad, Hishammuddin Tun Hussein)
Kakitangan serta keluarga Kedutaan Korea Utara tiba di KLIA sebelum menaiki pesawat komersial syarikat Shanghai Airlines penerbangan FM886 ke Pudong, China. - Foto Bernama (Dr Zaid Ahmad, Hishammuddin Tun Hussein)

Zaid berkata, ia merupakan ujian yang perlu dihadapi negara ini namun beliau yakin Malaysia mampu mendepaninya.

“Malaysia pernah berdepan dengan krisis hampir sama dengan Korea Utara pada tahun 2017 dan berjaya menghadapinya.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana Malaysia bertindak selari dengan dasar luar negara dan kita tidak mahu mengeruhkan keadaan,” kata beliau.

Tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik juga dilihat tidak akan memberi kesan besar kepada negara ini.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan tindakan Malaysia mengusir kesemua diplomat Kedutaan Korea Utara dibuat berdasarkan perundangan antarabangsa.

Menurutnya, pengusiran tersebut dilaksanakan selaras dengan dengan Artikel 9 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

“Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan itu sebagai tindak balas terhadap keputusan unilateral dan sama sekali tidak bertanggungjawab oleh Korea Utara untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Tindakan kerajaan Malaysia ini adalah perlu bagi melindungi kedaulatan Malaysia dan mempertahankan kepentingannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, tindakan itu akan menjadi peringatan bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang cubaan untuk mencampuri urusan dalaman dan sistem kehakiman negara, mencemarkan sistem tadbir urus serta sebarang usaha mewujudkan ketegangan dengan melanggar undang-undang antarabangsa.