16 individu ditahan bantu siasat kes gaduh di pusat beli belah

Rakaman kes gaduh di sebuah pusat beli belah tular di laman sosial.
Rakaman kes gaduh di sebuah pusat beli belah tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 16 individu berusia 13 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan kes pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah pusat beli belah di Jalan Bukit Bintang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata, siasatan awal mendapati punca pergaduhan itu disebabkan perasaan tidak puas hati berikutan seorang rakan dalam kalangan mereka, pengsan dan khayal selepas menghisap rokok elektronik atau 'vape'.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap kesemua tahanan didapati negatif dadah.

"Mereka direman selama tiga hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohamad Zainal berkata, orang awam yang ada sebarang maklumat berhubung kejadian itu, boleh menyalurkannya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi melalui talian 03-2600 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau di mana-mana balai polis berhampiran.

"Orang awam diingatkan tidak mengambil tindakan sendiri serta sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga keharmonian supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman serta sejahtera," katanya.

Satu video berdurasi 21 saat tular di laman media sosial memaparkan tindakan sekumpulan individu memukul seorang lelaki di pekarangan sebuah pusat beli belah di ibu kota.

Artikel Berkaitan: