X

Kindly register in order to view this article
!

PM nyata sokongan kerajaan Pusat kepada GRS 110 peratus

Muhyiddin ketika hadir pada Majlis Makan Malam (GRS) pada Ahad. -Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan kerajaan Pusat kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh dikatakan 110 peratus.

Katanya, sejak awal lagi beliau sentiasa berkomunikasi dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor walaupun ketika itu berhadapan dengan masalah rentas negeri dan terpaksa menguruskan hal negara.

"Tetapi hubungan secara peribadi telah saya jalinkan untuk membolehkan apa yang dikehendaki di Sabah diberikan keutamaan dan perhatian.

"Saya fikir ada ketika di mana Ketua Menteri tak mohon wang, kerajaan Persekutuan beri bantuan untuk menguruskan masalah Covid-19," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam (GRS) pada Ahad.

Katanya lagi, hubungan yang sudah mula terjalin antara kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri bukan setakat diteruskan tetapi akan diberi perhatian.

"Esok saya akan mendengar taklimat tentang apa yang akan dilaksanakan oleh kepimpinan kerajaan yang didokong parti-parti dalam GRS ini.

"Saya akan memberikan pandangan-pandangan tertentu," katanya.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya turut menjangkakan untuk tempoh beberapa bulan ke hadapan masalah Covid-19 dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

"Pengeluaran vaksin kita turunkan di banyak kawasan diseluruh negara dan pembukaan ekonomi hampir 100 peratus yang sudah mula dilaksanakan hampir diseluruh negara.

"Dijangkakan bahawa ekonomi negara kita akan kembali positif dalam tempoh beberapa bulan ke hadapan," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, Insya-ALLAH pada tahun ini seperti yang dijangkakan dalam usaha kerajaan laksanakan pelbagai bantuan untuk mencergaskan semula aktiviti ekonomi serta membantu kumpulan yang terkesan akibat masalah pandemik Covid-19 akan dapat dilaksanakan.

"Kita akan teruskan untuk tempoh yang kehadapan maka saya jangkakan ekonomi kita akan mula rancak.

"Pertumbuhan kita boleh dicapai enam hingga tujuh peratus, peluang-peluang pekerjaan boleh dapat kita sediakan dengan lebih banyak dan rakyat juga akan dapat balik kembali hidup seperti mana yang kita harapkan," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!