Kon Yeow kekal terajui DAP Pulau Pinang

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengangkat tangan setelah memperolehi 1211 undi dalam pemilihan jawatankuasa baru parti berkenaan di Konvensyen Biasa DAP negeri Pulau Pinang di Spice Arena hari ini. Turut sama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (dua, kanan). - Foto Bernama
Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengangkat tangan setelah memperolehi 1211 undi dalam pemilihan jawatankuasa baru parti berkenaan di Konvensyen Biasa DAP negeri Pulau Pinang di Spice Arena hari ini. Turut sama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (dua, kanan). - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kekal menerajui parti itu selepas mendapat undian tertinggi dalam pemilihan yang diadakan di SPICE Arena di sini pada Ahad.

Kemenangan itu membolehkan Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengekalkan jawatan yang disandang sejak 22 tahun lalu dan terus memimpin DAP bagi tempoh dua tahun akan datang.

Timbalan Ketua Menteri II,P Ramasamy dilantik menjadi Timbalan Pengerusi DAP negeri bagi menggantikan penyandangnya, Jagdeep Singh Deo yang dilantik memegang jawatan Naib Pengerusi negeri bersama Zairil Khir Johari.

Adik kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Lim Hui Ying mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha DAP negeri manakala Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hong Wai pula dilantik sebagai bendahari dan Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi, Hng Moon Lye dilantik sebagai Setiausaha Organisasi.

Kon Yeow ketika berucap berharap barisan jawatankuasa baharu yang dipilih itu akan menjadi barisan kepimpinan yang kuat dalam menanggani tiga krisis utama negara ketika ini iaitu krisis kesihatan awam, krisis ekonomi dan krisis politik.

Selain itu, beliau percaya pasukan baharu ini akan merangka persiapan rapi bagi pilihan raya umum akan datang.

"Kita perlu tunjukkan kepimpinan dan menggunakan kekuatan untuk menangani krisis yang melanda negara iaitu kesihatan, ekonomi dan krisis politik.

"Marilah kita bersama-sama mengukuhkan lagi parti dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya akan datang," katanya selepas pengumuman pemilihan 15 jawatankuasa DAP Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 1,608 undi dikeluarkan namun jumlah undi yang sah adalah sebanyak 1, 552, manakala undi rosak sebanyak 56 undi.

Sebanyak 44 calon bertanding bagi merebut 15 Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang bagi penggal 2021-2024.