Sentimen xenofobia meningkat di Amerika Syarikat

Komuniti Asia-Amerika menyertai perhimpunan membantah sentimen xenofobia yang semakin meningkat di AS ketika demonstrasi di Almansor Park, Alhambra, California pada Sabtu. - Foto AFP
Komuniti Asia-Amerika menyertai perhimpunan membantah sentimen xenofobia yang semakin meningkat di AS ketika demonstrasi di Almansor Park, Alhambra, California pada Sabtu. - Foto AFP
A
A
A

ATLANTA - Keganasan anti-Asia, ketaksuban kaum, misogini atau tidak suka kepada golongan wanita dan xenofobia (kebencian terhadap orang asing) kembali menjadi isu yang hangat diperdebatkan di Amerika Syarikat (AS) susulan insiden tembakan ganas yang meragut nyawa enam wanita berketurunan Asia pada awal minggu lalu.

Pembunuhan itu berlaku setelah setahun keganasan anti-Asia meningkat di negara itu selepas penduduk Asia-Amerika dipersalahkan gara-gara koronavirus pertama kali dikenal pasti di Wuhan, China pada akhir 2019.

Sebagai tanda solidariti dengan komuniti Asia-Amerika, satu perhimpunan diadakan di Atlanta, Georgia dan beberapa bandar utama di seluruh negara pada Sabtu yang disertai kumpulan penunjuk perasaan sambil mengibarkan bendera kebangsaan serta membawa plakad tertera ‘Kami bukan virus’ dan ‘Hentikan kebencian terhadap Asia’.

“Saya mahu pastikan dunia dan seluruh masyarakat sedar dengan kewujudan komuniti kami,” kata salah seorang peserta protes, Sunghee Han.

Acara itu turut dihadiri Senator Georgia, Raphael Warnock dan Jon Ossoff daripada parti Demokrat yang dilantik pada Januari lalu.

“Kita berhimpun pada hari ini untuk memperingati mangsa korban dan menuntut bela atas kematian mereka. Ayuh kita bina negara tanpa sesiapa berasa takut kerana identiti atau keturunan keluarga mereka,” tegas Ossoff.

Sehingga kini, pihak berkuasa Georgia masih belum mengetahui punca sebenar yang mendorong lelaki berkulit putih berusia 21 tahun itu bertindak melakukan serangan tembakan menyasarkan spa dan rumah urut di sekitar Atlanta pada Selasa lalu.

Suspek dikenali sebagai Robert Aaron Long mendakwa ia berpunca daripada ketagihan seks, namun penyokong antirasisme percaya ia mungkin berunsurkan sentimen anti-Asia memandangkan beberapa mangsa adalah berketurunan Korea Selatan dan China.

Artikel Berkaitan:

Long ditahan pihak berkuasa ketika dalam perjalanan menuju ke Florida dipercayai untuk melakukan serangan sama selepas dia menembak mati lapan mangsa di dua lokasi berasingan di daerah Cherokee dengan pistol kaliber 9mm yang dibelinya sehari sebelum kejadian menggemparkan itu.

Ketika ini, pengguna media sosial di Seoul dan Beijing yang menggunakan hashtag #stopAsianHate turut menyuarakan kebimbangan dengan rakan dan ahli keluarga mereka yang menetap di Washington.

Segelintir pengguna di China menyifatkan serangan di Georgia itu bukanlah perkara yang mengejutkan memandangkan komuniti Asia-Amerika di Washington telah sekian lama berdepan diskriminasi melampau. - Agensi