Pelawaan bertanding di 15 kawasan Parlimen bukti Anwar bersedia: Amirudin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

KUALA LANGAT - Dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipelawa oleh 15 kawasan Parlimen yang mahu beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah bukti Ahli Parlimen Port Dickson itu bersedia untuk membawa obor reformasi di mana-mana kawasan Parlimen.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar adalah berdasarkan ura-ura bahawa beliau dipelawa untuk bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

“Walaupun Anwar berseloroh dalam kenyataan itu, tapi ia menunjukkan bahawa beliau bersedia di mana-mana kawasan Parlimen untuk membawa obor reformasi.

“Banyak tempat yang memerlukan dirinya, sebagai contoh kawasan Port Dickson yang mana beliau menang dengan signifikan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Lawatan dan Serahan Sumbangan kepada Rumah Anak Yatim serta Penyampaian Skim Niaga Darul Ehsan (Nadi) di Dewan Majlis Perwakilan Ketua Kampung (MPKK) Kampung Sungai Manggis, Banting di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi PRU15, Amirudin berkata, pihaknya sedang mengatur strategi untuk merampas mandat yang dikhianati dalam PRU14 lalu.

Ujarnya, selain terdapat rombakan calon, mereka juga akan menghantar wajah-wajah baharu yang lebih bersemangat dan berkualiti untuk bertanding dalam PRU15 nanti.

“Sejak dulu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sering memperkenalkan calon-calon yang muda, tapi kita nak gabungan yang sama adil, bergantung kepada strategi parti.

“Namun yang penting sebenarnya bukan pada calon kerana walaupun mereka mungkin mempunyai impak kepada pengundi pada awalnya, tetapi apa yang lebih mustahak adalah soal jentera, keutamaan pengundi dan ‘mood’ mereka menjadi rujukan penting sebelum PRU15,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Amirudin hadir ke Lawatan dan Serahan Sumbangan kepada Rumah Anak Yatim serta Penyampaian Skim Niaga Darul Ehsan (Nadi) untuk memberi peruntukan kepada peserta Nadi dan beberapa peminjam Skim Bantuan Hijrah Selangor (Hijrah).

Katanya, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum sebanyak RM1,000 bagi Hijrah dan Nadi turut berkemungkinan akan dinaikkan jumlahnya mengikut keperluan.