Tanggungjawab menjaga sungai seharusnya digalas bersama: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Air adalah nadi kehidupan, maka sewajarnya tanggungjawab menjaga kebersihan sungai yang menjadi sumber utama bekalan air negara digalas setiap lapisan masyarakat.

Bertepatan dengan tema sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 iaitu ‘Sungai Tanggungjawab Bersama’, sikap sayangi dan menjaga kebersihan sungai perlu dipupuk sehingga alah bisa tegal biasa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan tarikh 22 Mac sebagai Hari Air Sedunia - tahun ini dengan tema ‘Menghargai Air'. Bagi peringkat kebangsaan, ia bakal disambut pada 27 Mac.

Dalam temubual bersama Bernama baru-baru ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan mentaliti bahawa menjaga kebersihan sungai adalah di bahu pihak berkuasa sahaja harus diubah supaya masyarakat dapat menyemai dalam diri untuk turut sama ‘menyayangi’ sungai.

“Tema ini dipilih kerana kita mahu semua orang ada rasa tanggungjawab, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), komuniti, individu dan pihak industri. Kadang-kadang kita tak rasa sungai itu kepunyaan kita maka masing-masing tidak ada rasa untuk sayangi sungai.

“Dengan tema ini, kita hendak tanamkan dalam fikiran rakyat yang jika nampak ada sampah di sungai, kutiplah. Kita mahu supaya ada rasa malu dalam kalangan masyarakat supaya tidak buang sampah ke dalam sungai,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengajak NGO, komuniti dan pemilik industri di sekitar sungai untuk memelihara sumber air negara itu serta mengindahkannya supaya ia tidak mudah dinodai dengan sebarang pencemaran.

“Bayangkan jika 1,000 sungai di seluruh negara ada NGO, komuniti atau industri yang jaga, dibangunkan tempat rehat, tandas serta dicantikkan, mungkin mereka boleh caj pengunjung. Pastinya orang ramai rasa berbaloi untuk bayar sebab sungai itu bersih dan indah.

Artikel Berkaitan:

“Saya lihat ini potensi besar kerana ia juga boleh kembangkan ekonomi setempat. Kerajaan juga boleh wujudkan anugerah bagi menghargai usaha mereka itu,” katanya.

Justeru kata Tuan Ibrahim, adalah menjadi harapan kerajaan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang untuk melihat perubahan yang lebih baik kepada sungai sekiranya setiap individu terus memainkan peranan memelihara sumber air negara berkenaan.

“Kita mahu sumber air kita berubah wajah, denai sungai kita hidup dan masyarakat bertanggungjawab supaya sumber-sumber air (baharu) dapat diwujudkan. Buat masa ini kita sedang mengindahkan Sungai Kim Kim di Johor agar pada masa depan ia menjadi tempat yang cantik untuk menarik kehadiran pengunjung,” katanya.

Selaras tema itu juga kata Tuan Ibrahim, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bekerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia mewujudkan program Waqaf Air untuk membantu masyarakat luar bandar khususnya di kawasan pedalaman mendapat bekalan sumber air bersih.

Buat masa ini katanya, dana berjumlah RM2.4 juta telah dikumpul bagi melaksanakan projek tersebut merangkumi kerja-kerja ‘boring’ air, membangunkan pam dan tangki serta sistem penapisan untuk menyalurkan bekalan itu ke rumah penduduk di kawasan pedalaman. - Bernama.