Tindakan usir selaras perundangan antarabangsa: Hishammuddin

Bas yang membawa keluar pegawai, kakitangan dan ahli keluarga Kedutaan Korea Utara daripada banguna kedutaan pada Ahad. Sumber foto: Facebook Hishamuddin Hussein
Bas yang membawa keluar pegawai, kakitangan dan ahli keluarga Kedutaan Korea Utara daripada banguna kedutaan pada Ahad. Sumber foto: Facebook Hishamuddin Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan tindakan Malaysia mengusir kesemua diplomat Kedutaan Korea Utara dibuat berdasarkan perundangan antarabangsa.

Menurutnya, pengusiran tersebut dilaksanakan selaras dengan dengan Artikel 9 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

“Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan ini sebagai tindak balas terhadap keputusan unilateral dan sama sekali tidak bertanggungjawab oleh Korea Utara untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Tindakan kerajaan Malaysia ini adalah perlu bagi melindungi kedaulatan Malaysia dan mempertahankan kepentingannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, tindakan itu akan menjadi peringatan bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang cubaan untuk mencampuri urusan dalaman dan sistem kehakiman negara, mencemarkan sistem tadbir urus serta sebarang usaha mewujudkan ketegangan dengan melanggar undang-undang antarabangsa.

Pada Jumaat, susulan daripada tindakan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik bersama Malaysia, kerajaan mengambil keputusan untuk mengarahkan pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara dalam tempoh 48 jam.

Tindakan Korea Utara itu dibuat kerana Pyongyang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Malaysia mengekstradisi seorang warganegaranya ke Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan: