Kenyataan Asyraf Wajdi gores hati Pemuda Pas

Muhammad Irsyad Syafiq - Foto ihsan Facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu Official
Muhammad Irsyad Syafiq - Foto ihsan Facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu Official
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu menyifatkan kenyataan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang seolah-olah mendorong UMNO memerangi Pas di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menggores hati ahli Pas.

Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan itu malah ia didakwa mengeruhkan lagi hubungan Muafakat Nasional (MN) di Terengganu.

"Kenyataan dikeluarkan itu telah menggores hati Pemuda Pas yang sentiasa diasuh untuk terus bersabar dalam merealisasikan MN demi kepentingan umat Islam di negara ini.

"Bukan kali ini, malah berkali-kali hati kami dirobek dengan kenyataan-kenyataan pimpinan UMNO yang terus menerus menginginkan perpecahan berlaku dalam MN khususnya di Terengganu ini.

"Bagi kami, sudah sampai masanya Ketua Pemuda UMNO itu bertanggungjawab atas kenyataan beliau yang menambahkan kekeruhan dalam hubungan MN di bumi Terengganu ini," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu Official, pada Ahad.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Pas Terengganu mendesak Asyraf Wajdi mengemukakan permohonan maaf dan menarik semula ucapan beliau sekiranya beliau ingin melihat MN terus diperkasakan di Terengganu.

"Kami mahu ingatkan kepada mana-mana pihak baik kawan atau lawan, baru atau lama, janganlah sentiasa mengguris hati kami dengan perbuatan dan ucapan tidak matang.

"Dalam hal ini, kami terus berpegang kepada hasrat besar Presiden Pas untuk terus bersama Muafakat Nasional agar kedudukan umat Islam di Malaysia terus terbela di bawah panji keadilan Islam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tular di media sosial petikan ringkas ucapan Asyraf Wajdi dalam talian ketika bersama sukarelawan Skuad Sabil dan Pemuda UMNO Terengganu sempena Majlis Amanat 500 jam Sanitasi Awam Pemuda UMNO Malaysia pada Jumaat.

Ucapan itu didakwa seolah-olah menunjukkan beliau menyokong UMNO Terengganu menentang Pas dalam PRU15.

ARTIKEL BERKAITAN: Asyraf jelaskan kenapa 'UMNO lawan Pas di Terengganu'