Syarikat Korea Selatan sedia lebih 5,000 peluang pekerjaan di Sabah

Mohamed Azmin bertemu dengan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis, Kim Young Tae di Kota Kinabalu pada Ahad.
Mohamed Azmin bertemu dengan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis, Kim Young Tae di Kota Kinabalu pada Ahad.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pelaburan syarikat dari Korea Selatan, SK Nexilis yang membina kerajang tembaga di Sabah akan menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan termasuk tenaga mahir kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaburan sebanyak RM2.3 bilion yang masuk ke Sabah membuktikan pelabur asing yakin dengan Malaysia.

"Pelaburan ini sudah tentu memberi kesan positif kepada Malaysia. Sekali lagi membuktikan bahawa pelabur asing cukup yakin kepada Malaysia dengan meletakkan pelaburan yang begitu besar.

"Ini antara pelaburan yang terbesar bagi Sabah iaitu sebanyak RM2.3 bilion yang dibina di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bermula Julai ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun di atas sebidang tanah berkeluasan 40 hektar.

"Dijangka pembangunan ini akan melibatkan 5,000 pekerja untuk membina kemudahan ini dan setelah siap dua tahun akan datang ia akan menyasarkan seramai 400 tenaga mahir yang terlibat secara langsung dalam kerajang tembaga," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pertemuan dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis, Kim Young Tae.

Diminta mengulas lanjut berhubung pelaburan ke Sabah, Azmin yang juga Menteri Kanan berkata, kerajaan Persekutuan akan terus membawa pelaburan baharu ke negeri ini.

"Sabah juga mempunyai hak untuk mendapatkan pelaburan kemahiran dan mempunyai potensi untuk terlibat dalam operasi berteknologi tinggi ini cuma perlu diberi peluang dan ini adalah peluang terbaik untuk anak-anak Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada empat lagi yang besar saya akan bincangkan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor esok petang yang telah pun menunjukkan minat untuk datang ke Sabah, cuma ada beberapa perkara yang kita perlu selesaikan untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah destinasi pelaburan," katanya.