JMM akan dedah agensi didakwa terbabit kartel daging

Hamdan (tengah) ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad.
Hamdan (tengah) ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dijangka membuat pendedahan berhubung dakwaan agensi yang disyaki terlibat dengan kartel daging pada 28 Mac ini.

Presiden JMM, Hamdan Mohd Salleh berkata, pendedahan itu boleh mendatangkan risiko kepada pertubuhan berkenaan dan dirinya.

"Saya tidak boleh mendedahkan keseluruhan kandungan laporan polis kepada media kerana ia membabitkan kartel daging yang besar di peringkat antarabangsa dan mempunyai pengaruh besar serta disyaki dikuasai 'orang ternama' di negara ini.

"Saya janji pada 28 Mac ini, saya akan buat pendedahan di Putrajaya berhubung dakwaan agensi mana yang disyaki terlibat dengan kartel itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan terhadap isu tersebut.

"Kita menyokong tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memburu kartel daging terlibat," katanya.

Dalam perkembangan isu sama, Hamdan mempersoalkan adakah pegawai-pegawai yang bertugas di pelabuhan 'panas' seperti di Tanjung Pelepas, Pasir Gudang di Johor serta Pelabuhan Klang di Selangor telah ditukarkan.

"Adakah pegawai di bahagian penguatkuasaan beberapa agensi berkenaan telah ditukarkan? Sekiranya sudah ditukarkan, kita mahu senarai pegawai terlibat yang ditukar ke bahagian lain untuk mengelak persepsi negatif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti tujuh hingga lapan individu yang terlibat dalam pengimportan daging sejuk beku yang tidak sah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang mengambil tindakan untuk memburu individu terbabit.

Menurutnya, kesemua yang dikenal pasti itu membabitkan warga tempatan dan individu itu akan dikenakan tindakan termasuk didakwa atau dicadangkan untuk ditahan di bawah Ordinan Pencegahan Jenayah.

Dalam pada itu, sumber Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendedahkan, jabatan itu telah mengenal pasti sebuah premis kartel daging sejuk beku terletak di Lembah Klang.

Menurutnya, premis itu disyaki mempunyai kaitan dengan kartel daging sejuk beku di Senai, Johor.

Pada 2 Disember tahun lalu, Sinar Harian dalam laporan eksklusif melaporkan sepasukan pihak berkuasa bertindak menyerbu sebuah gudang daging sejuk beku di Senai dan merampas kira-kira 1,500 tan pelbagai jenis daging sejuk beku.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan individu terlibat kartel daging dalam buruan PDRM

SPRM serah kertas siasatan kes kartel daging kepada Peguam Negara

Kartel tukar daging haram jadi halal