X

Kindly register in order to view this article
!

Air sungai bertukar hitam

Air sungai yang menjadi hitam akibat aktiviti pembuangan sampah haram di atas tanah lapang di Kampung Cherakah Jaya Meru.
A
A

KLANG - Aktiviti pembuangan sampah haram di atas tanah lapang di Kampung Cherakah Jaya Meru di sini dipercayai telah menyebabkan air sungai di kawasan itu bertukar hitam.

Ia bukan hanya mengeluarkan bau busuk malah merosakkan tanaman dan sayuran milik penduduk sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, aduan tersebut diterimanya sebulan lalu sebelum lawatan ke lokasi baru-baru ini mendapati permasalahan tersebut masih berlarutan.

Mohd Fakhrulrazi menunjukkan perbandingan sampel air sungai yang menjadi hitam dengan sumber air bersih.
Mohd Fakhrulrazi menunjukkan perbandingan sampel air sungai yang menjadi hitam dengan sumber air bersih.

Menurutnya, pihaknya telah memanjangkan isu tersebut kepada Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian dan Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar untuk tindakan lanjut.

"Aktiviti haram ini tidak disedari orang awam kerana terletak di kawasan pedalaman berhampiran sebuah projek perumahan baharu.

"Selepas membuang sampah, terdapat sisa yang dikambus menyebabkannya larut ke sungai berhampiran. Setakat ini kita masih belum dapat menangkap pelakunya dan akan menghantar orang untuk melakukan intipan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Keadaan tanah lapang yang menjadi lokasi pembuangan sampah haram.
Keadaan tanah lapang yang menjadi lokasi pembuangan sampah haram.

Katanya, pihaknya menggesa tindakan tegas dikenakan kepada individu atau pihak yang melakukan pencemaran alam sekitar di lokasi kampung tradisi tersebut.

"Saya minta pelaku dikenakan kompaun dan tanah tersebut disita. Jika ia libatkan pencemaran sumber air maka saya minta didakwa di bawah Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta dan hukuman penjara mandatori.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah turun menjalankan siasatan dan sampel air diambil untuk ujian makmal," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!