Insiden tumpahan bahan kimia selesai

Berjaya elak pencemaran sungai, LRA Semenyih serta gangguan bekalan air

A
A
A

SEMENYIH - Lebih 1 juta penduduk di Hulu Langat dan Putrajaya dijangka berdepan episod gangguan bekalan air, jika tumpahan bahan kimia yang berlaku di Jalan 1, Kampung Sungai Lalang di sini, pada Selasa lalu gagal diatasi.

Tumpahan bahan kimia disyaki jenis 'Ethylene Chloride' dipercayai sengaja dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dan dikhuatiri memasuki sungai lalu mencemarkan Sungai Semenyih termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang membekalkan air kepada penduduk.

Bagaimanapun, kejadian itu berjaya dielakkan berikutan tindakan pantas Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor serta beberapa agensi berkaitan yang segera membuat siasatan sebaik menerima aduan.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, pemeriksaan di lokasi menemui 172 tong yang disyaki berisi pelbagai kimia usang.

"Sebanyak 10 daripada tong itu didapati sengaja ditebuk dan diterbalikkan supaya cecair itu keluar dan mengalir ke alur air berhampiran dan tumpahan juga menyebabkan bau kuat terhasil di sekitar lokasi tapak pembuangan dan boleh dihidu sehingga 300 meter dari tempat kejadian.

"Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kemudiannya membuat kolam dan sekatan aliran kira-kira 500 meter dari lokasi bagi memastikan cecair tidak terus mengalir ke sungai berdekatan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, analisa oleh Lembaga Air Selangor mendapati terdapat 92 jenis bahan kimia dalam sampel air tercemar diambil dari kolam yang disediakan MPKj. Sampel bahan kimia dari tong drum tersebut turut dihantar ke makmal Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.

"Difahamkan lokasi terbabit terletak kira-kira 500 meter dari kawasan perumahan Taman Semenyih Permata dan Kampung Pasir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Loy Sian berkata, susulan insiden itu, kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melantik Kualiti Alam Sdn Bhd dan memperuntukkan sebanyak RM486,000 untuk menjalankan aktiviti pembersihan semula.

"Sebanyak 36 tong drum kosong dan 18 tan air tercemar diangkut keluar untuk dilupuskan dan kerja pembungkusan semula tong drum berisi bahan kimia turut dilakukan bagi mencegah kebocoran dan angkut selamat.

"Sehingga sekarang sebanyak 60 tong drum lagi yang berisi bahan kimia diangkut keluar dan kesemua yang siap dibungkus dilupuskan," katanya.

Loy Sian berkata, polis melalui pasukan forensik turut melakukan siasatan terperinci bagi mengesan sebarang unsur sabotaj dan Jabatan Alam Sekitar membantu siasatan polis bagi mendapatkan maklumat untuk menangkap dan mengheret suspek ke mahkamah.

"Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat sudah membuat semakan dan mengenal pasti tanah tapak penempatan tong drum berisi bahan kimia tersebut adalah tanah rizab kerajaan," katanya.