Kerajaan digesa perincikan langkah diambil dalam merangka SOP

Pakatan Harapan
Pakatan Harapan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk memperincikan langkah-langkah yang diambil secara saintifik dan berasaskan data dalam merangka prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan bersama pada Ahad berkata, sebagai contoh orang ramai masih lagi tidak mengetahui bagaimana berbilion daftar masuk MySejahtera diguna untuk menjejak dan mengenalpasti mereka yang berkemungkinan pesakit positif Covid-19.

“Bagaimana data ini diguna untuk mengenalpasti lokasi yang berpotensi menularkan Covid-19. Sebagai satu contoh, pada November tahun lalu di Parlimen dilaporkan bahawa hanya empat peratus kes positif Covid-19 dijejak menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Setakat hari ini, kami masih belum melihat bukti bahawa data dari aplikasi MySejahtera dimanfaatkan secara berkesan ketika PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 2.0 untuk mengekang penularan virus ini,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil; Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr Ong Kian Ming.

Mereka dalam masa sama turut menggesa agar kerajaan bersikap berperikemanusiaan dalam tindakan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

“Sebagai contoh, pembasuh pinggan yang miskin tidak akan dikenakan kompaun RM10,000 hanya kerana mereka terlanggar SOP dalam keadaan yang tidak menjejas keselamatan orang lain,” katanya.

Menurut mereka, ahli-ahli Parlimen PH komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Pusat dan juga negeri bagi memberi input serta cadangan bagaimana dasar untuk mengekang penularan Covid-19 dapat dirangka dan dilaksana dengan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuk juga bekerjasama dengan kerajaan negeri yang ditadbir PH agar tindakan penguatkuasaan serta garis-garis panduan adalah jelas, telus dan berperikemanusiaan,” katanya.

Tegas mereka, kebanyakan daripada dasar dan proses yang tidak dirangka dengan baik ini boleh dielak sekiranya pindaan undang-undang dibincang dengan teliti serta dibahas di Parlimen.

“Rasional tidak memanggil sidang Parlimen untuk memudahkan pindaan undang-undang sedia ada yang sepatutnya membantu mengawal penularan Covid-19 terbukti tidak benar.

“Maka kami menggesa Parlimen bersidang semula segera sebagai salah satu cara untuk menyelamatkan negara dari sudut kesihatan dan juga ekonomi dengan menggubal undang-undang dan dasar-dasar yang lebih berkesan,” katanya.