DVS perlu pastikan telur ayam selamat sebelum dieksport

Che Abdullah Mat Nawi - Foto Bernama
Che Abdullah Mat Nawi - Foto Bernama
A
A
A

BALIK PULAU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mahu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengambil langkah segera bagi memastikan telur ayam yang dieksport adalah selamat dan tidak dicemari bakteria Salmonella Enteritidis (SE).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, langkah itu penting agar pemantauan dan pembetulan dapat dilakukan segera dan tidak menimbulkan masalah di negara pengimport.

"DVS kena kenal pasti telur ayam yang selamat supaya bila dihantar ke Singapura tidak timbul masalah ia tidak selamat atau mengandungi bakteria SE...sepatutnya kita kena kesan dulu sebelum dieksport ke sana (Singapura),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Pulau, di sini pada Ahad.

Menurutnya, MAFI juga masih menunggu laporan penuh daripada DVS mengenai isu telur ayam tercemar bakteria SE yang datangnya dari ladang ayam di negara dan telah dikesan di Singapura.

Pada Sabtu, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan untuk menarik balik telur ayam yang mempunyai cetakan kod 'CEM014, diimport dari sebuah lagi ladang di Malaysia setelah mengesan kehadiran bakteria SE.

SFA dilaporkan berkata, pihaknya telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik produk tersebut sebagai langkah berjaga-jaga, memandangkan bakteria SE boleh menyebabkan penyakit bawaan jika telur berkenaan dimakan mentah atau tidak dimasak dengan betul.

ARTIKEL BERKAITAN: Singapura tarik balik telur dari sebuah lagi ladang di Malaysia

Singapura tarik balik telur punca penyakit dari Malaysia

Artikel Berkaitan:

Dalam isu berasingan, Che Abdullah berkata, pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM35.6 juta kepada 212 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di seluruh negara dalam usaha membantu melaksanakan projek perusahaan kecil dan melahirkan lebih ramai usahawan peladang dalam kalangan 900,000 ahlinya.

"MAFI melalui LPP bersedia membantu dari segi aspek peruntukan pembangunan projek dan menjadi penyelaras bagi memastikan ahli bergerak lebih progresif dan dapat menambah pendapatan di samping meningkatkan ekonomi serta memastikan bekalan makanan dalam negara mencukupi," katanya.

Dalam pada itu, katanya MAFI juga bersetuju dengan cadangan LPP Pulau Pinang untuk menjadikan PPK Seri Pulau sebagai agro edutourism kerana terletak di lokasi yang strategik dan mampu menarik pelancong bagi melihat sendiri projek pertanian di negeri ini.

PPK Seri Pulau mempunyai pebagai projek pertanian seperti penanaman cendawan, sayur konvensional dan akuaponik membabitkan peruntukan RM812,010 dengan melibatkan 20 usahawan peladang dan berpotensi untuk terus dimajukan. - Bernama