Annuar senarai 7 sebab kenapa UMNO berpecah belah dengan PN

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyenaraikan tujuh sebab UMNO berpecah belah mengenai hubungannya dengan Perikatan Nasional (PN).

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Ahad berkata, beliau selalu memikirkan apakah yang tidak kena dalam partinya itu dan mengapa ia terjadi.

Menurutnya, antara jawapan diperoleh ialah kekecewaan segelintir pemimpin tidak terpilih menyertai Kabinet apabila UMNO kembali dalam kerajaan mendorong mereka memulakan 'rentak berbeza'.

Selain itu katanya, lantikan 'anak buah' pemimpin ke dalam Kabinet, tetapi bukan pemimpin itu sendiri dan kes mahkamah yang tidak memihak kepada pemimpin UMNO menyebabkan mereka merasakan kerajaan tidak membantu mereka.

Empat lagi sebab ialah pertemuan sulit sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyaksikan percubaan menjatuhkan kerajaan PN, diikuti oleh sumpah setia kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Oktober tahun lalu, yang membelakangi pendirian parti yang menolak Anwar dan DAP.

"Pertemuan sulit pada 17 Oktober tahun lalu yang melibatkan pemimpin UMNO dan Pakatan Harapan (PH), disusuli oleh beberapa perbincangan lain untuk menjatuhkan kerajaan.

"Kegagalan percubaan 'menarik tikar di bawah kaki' kerajaan PN (merujuk kepada beberapa pemimpin UMNO yang menarik balik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang membawa kepada pengisytiharan darurat pada Januari," katanya.

Yang ketujuh pula ialah gerakan yang dilancarkan bagi mendesak bahagian-bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya akan datang, iaitu strategi bagi menjayakan 'jajaran baharu' yang cenderung kepada kerjasama dengan PH.

Artikel Berkaitan:

Annuar berkata, terdapat perancangan untuk menjadikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebagai medan untuk membatalkan 'jajaran asal' yang telah 'berkali-kali' diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Akibatnya, berlakulah pertembungan dua aliran pemikiran dalam kalangan pemimpin dan bahagian.

“Jajaran baharu yang condong kepada kerjasama dengan PH, (dan) jajaran asal yang condong kepada kerjasama dengan PN,” kata Annuar dalam kenyataan sama.