Ahli Parlimen PH desak adakan sesi dialog buka semula sidang Dewan Rakyat

Kempen Tamat Darurat yang diadakan PH Johor di Pejabat Amanah Johor di Kangkar Pulai pada Ahad.
Kempen Tamat Darurat yang diadakan PH Johor di Pejabat Amanah Johor di Kangkar Pulai pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Satu sesi dialog berhubung keperluan membuka semula sidang Dewan Rakyat perlu diadakan antara Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, gesaan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang dijangka hadir ke Parlimen bagi mengusulkan sesi dialog berkenaan.

"Ahli Parlimen PH akan ke Parlimen untuk bertemu Speaker Dewan Rakyat pada jam 10 pagi Isnin. Pertemuan ini bagi meminta sesi dialog dengan ketua pembangkang dan Speaker Dewan Rakyat dapat diadakan segera.

"Saya berharap Speaker Dewan Rakyat benar-benar dapat memainkan peranan menasihati Perdana Menteri supaya sidang Dewan Rakyat diadakan tahun ini agar perbahasan, usul dan kritikan dapat disalurkan demi kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita sempena program Kempen Tamat Darurat di pejabat Amanah Johor di Kangkar Pulai di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan; Setiausaha DAP Johor, Tan Hong Ping dan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kempen Tamat Darurat yang dilakukan PH adalah untuk menggesa proklamasi darurat ditamatkan segera.

Beliau berkata, kempen berkenaan merupakan suatu pandangan demokrasi bahawa proklamasi berkenaan bertentangan dengan prinsip demokrasi negara yang telah mencapai kemerdekaan 64 tahun.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 Mac berkata, kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Katanya, Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.