Kedah ulangi pendirian PBAPP perlu jelaskan bayaran sumber air mentah

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menanam Pokok Setar di pekarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah sempena Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2021 di Dewan Seri Mentaloon pada Ahad.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menanam Pokok Setar di pekarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah sempena Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2021 di Dewan Seri Mentaloon pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah mengulangi pendirian supaya Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebelum campur tangan dalam urusan sumber air negeri itu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PBAPP boleh mengemukakan apa cadangan sekalipun kepada kerajaan Persekutuan, namun bayaran perlu dilunaskan.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah hanya menuntut hak Kedah semata-mata, namun PBAPP dilihat masih berterusan campur tangan dalam urusan sumber air di negeri ini.

"Dia boleh cadang apapun, yang penting Kedah kena dapat bayaran, apapun tidak mengapa. Bayarlah caj air mentah itu, Insya-ALLAH Kedah tidak akan terus membuat tuntutan.

"Selagi PBAPP tidak menjelaskan bayaran caj sumber air mentah, maka kita akan terus membuat tuntutan untuk mendapatkan hak Kedah," katanya ketika diminta mengulas saranan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa bahawa kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan penubuhan pihak berkuasa bebas untuk menguruskan Ulu Muda.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Program Santai Bersama Menteri Besar Kedah sempena Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2021 di Dewan Seri Mentaloon di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menegaskan PBAPP tidak sewajarnya membuat apa-apa cadangan memandangkan kawasan Ulu Muda merupakan hak Kedah.

"Kita jaga negeri kita dan uruskan sumber air, maka dia jaga negeri dia punya, jangan pandai-pandai campur tangan kerana perbuatan itu salah malah kita hanya tuntut hak kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan saranan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa bahawa kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan penubuhan pihak berkuasa bebas untuk menguruskan Ulu Muda secara profesional dan lestari sebagai kawasan tadahan air terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Jaseni berkata, seramai 4.2 juta penduduk di tiga negeri NCER bergantung pada Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air.