Murid Tahun Lima disahkan positif Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang murid Tahun Lima di sebuah sekolah di Rasah, disahkan positif Covid-19 pada Rabu lalu.

Difahamkan, murid tersebut menjadi kontak rapat kepada ibunya yang juga disahkan positif wabak itu

Menurut sumber, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban telah mengesan 35 kontak rapat kepada murid tersebut dan mereka diminta untuk membuat ujian calitan di PKD Seremban esok.

"Setakat ini kita hanya membuat ujian pengesanan secara bersasar, seramai 35 murid di sekolah itu akan di panggil untuk menjalani ujian calitan, ini termasuklah murid yang menaiki van sekolah yang sama dengan murid tersebut.

"Kita juga dalam proses untuk mengenalpasti guru yang mengajar kelas itu, dan sehingga kini kita masih belum dapat sahkah lagi berapa ramai guru yang akan dipanggil,"katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambahnya, sekolah terbabit juga telah pun disanitasi sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai kejadian itu dan atas nasihat PKD Seremban, sekolah boleh beroperasi seperti biasa, tidak perlu ditutup, hanya kelas yang bersasar sahaja perlu ditutup manakala murid kelas terbabit juga telah diberikan cuti sejak Khamis lalu.

"Sekolah berada dalam keadaan selamat, jadi ibu bapa tidak perlu bimbang dan panik dengan kejadian ini, malah semua langkah keselamatan juga telah diambil oleh pihak sekolah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekolah telah mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, malah langkah-langkah keselamatan turut diambil bagi memastikan pelajar dan guru tidak dijangkiti.

"Kita selalu nasihatkan kepada semua pelajar dan guru agar sentiasa memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan jaga penjarakan sosial antara satu sama lain bagi memastikan keselamatan mereka terus terjamin," katanya.