KPM pastikan murid dapat kuasai tahap minimum pengajian

Mohd Radzi Md Jidin. - Foto Bernama
Mohd Radzi Md Jidin. - Foto Bernama
A
A
A

ARAU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan semua pelajar dapat menguasai tahap minimum yang ditetapkan sebelum mereka meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya apabila sesi persekolahan tahun ini tamat.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, perkara itu antara yang dibincangkan pihaknya dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari seluruh Perlis pada Ahad.

“Kita bincang bagaimana nak pastikan murid dapat habiskan kurikulum dalam tempoh yang ditetapkan. Contohnya murid Tahun Satu bersedia untuk ke Tahun Dua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin bersama PIBG seluruh Perlis di Dewan Sivik, di sini pada Ahad.

Menurutnya, KPM akan terus menganjurkan program seumpama dengan semua komponen penting dalam ekosistem pendidikan negara bagi berkongsi cabaran yang dihadapi kementerian sepanjang setahun lepas, di samping memberi penjelasan dan berkongsi pandangan mengenai isu semasa.

Sementara itu, Pengerusi Penggerak Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Negeri Perlis (PIBKs), Profesor Madya Dr Abdul Jalil Ramli mencadangkan agar satu modul khusus diwujudkan oleh KPM bagi membantu ibu bapa memastikan anak mereka dapat menamatkan kurikulum.

“Jika kita lihat, akibat Covid-19 murid Tahun Satu mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka dalam tempoh tiga bulan sahaja dan ada antara mereka yang terus masuk ke Tahun Dua dalam keadaan tidak dapat menguasai kemahiran 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira,” katanya.

Modul tersebut katanya, akan membantu ibu bapa mengajar anak mereka di rumah, dengan keutamaan ialah kepada murid Tahun Satu dan Dua bagi mengelak wujudnya jurang yang luas dari segi penguasaan kemahiran 3M.

Menurutnya, kebanyakan murid yang tidak dapat menguasai kemahiran 3M ialah mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan kerana ketiadaan kemudahan internet dan peranti bagi membolehkan mereka mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika persekolahan berlangsung secara dalam talian sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: