Sultan Kedah dianugerahkan Ijazah Kehormat UUM

Tengku Sarafudin Badlishah (kiri) mempersembahkan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Sultan Sallehuddin di Istana Anak Bukit pada Ahad. -Foto Unit Komunikasi Korporat Istana Anak Bukit
Tengku Sarafudin Badlishah (kiri) mempersembahkan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Sultan Sallehuddin di Istana Anak Bukit pada Ahad. -Foto Unit Komunikasi Korporat Istana Anak Bukit
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Awam) sempena Majlis Konvokesyen Diraja dan Pemasyhuran Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) di Istana Anak Bukit di sini, pada Ahad.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, yang juga Pro-Canselor UUM mempersembahkan anugerah ijazah berkenaan kepada baginda.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Istana Anak Bukit, anugerah itu sebagai tanda menjunjung kasih UUM terhadap Sultan Sallehuddin sebagai Canselor UUM sejak 2017.

“Penganugerahan itu mencerminkan keperibadian baginda yang mempunyai daya fikir yang cerdas, berpandangan jauh, berwawasan, mempunyai ciri-ciri pemerintah yang disayangi dan dikagumi,” katanya.

Baginda juga sentiasa memikirkan apa yang wajar dan perlu untuk dilaksanakan demi kesejahteraan seluruh rakyat Kedah.

“Baginda sedar menjadi pemerintah dalam dunia hari ini cukup mencabar di mana bukan sekadar menjadi Raja, malah perlu menjadi pembimbing, penasihat dan peneraju yang dapat memberikan rakyat kehidupan lebih berkualiti,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, baginda juga menyedari peranan besar dimainkan oleh dunia akademik dan institusi pendidikan sebagai pemikir serta perencana dalam membangunkan rakyat.

“Sehubungan itu, baginda mencetuskan ilham dan menggerakkan usaha menubuhkan Pusat Sains, Teknologi & Matematik (STEM) di I-JUM. Gagasan ini terhasil apabila baginda melihat bagaimana kredibiliti modal insan, yang juga aset penting negara dapat dijamin kelangsungannya sebagai sumber manusia yang berdaya saing untuk masa hadapan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Penganugerahan itu juga adalah atas keprihatinan, iltizam dan usaha berterusan baginda dalam memperkasakan pentadbiran dan pengurusan negeri ini dalam mengangkat sektor ekonomi dan pelaburan ke peringkat lebih tinggi seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Antara projek berimpak tinggi adalah Kedah Rubber City (KRC) Hab Logistik di Bukit Kayu Hitam dan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Pada majlis sama, Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri DiRaja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, serta Tengku Tan Sri Dr Mahaleel Tengku Ariff turut dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UUM yang baharu.

Pemasyhuran berkenaan disempurnakan oleh Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Ibni Almarhum Tengku Ariff; Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.