Maritim tahan nelayan warga asing jual diesel tengah laut

Nur Syam Asmawie (berdiri, tengah) bersama pegawainya memeriksa nelayan warga asing yang ditahan dalam Op Kuda Laut.
Nur Syam Asmawie (berdiri, tengah) bersama pegawainya memeriksa nelayan warga asing yang ditahan dalam Op Kuda Laut.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan menahan lapan nelayan warga asing yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan minyak diesel di tengah laut dalam Op Kuda Laut pada Khamis lalu.

Kesemua mereka yang merupakan warga Thailand dan Kemboja berusia antara 18 hingga 60 tahun termasuklah seorang tekong ditahan di atas sebuah kapal tangki pada jarak 110 batu nautika dari muara Tok Bali di sini sekitar jam 8.08 pagi.

Kepten Maritim Malaysia Kelantan, Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kapal berkenaan sudah lama aktif melakukan aktiviti berkenaan di kawasan tengah laut.

"Kebanyakan bahan api itu dijual kepada nelayan asing Vietnam yang menceroboh masuk ke negara ini.

"Bagaimanapun, kita masih lagi melakukan siasatan lanjut untuk mengesan dalang di sebalik aktiviti ini," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan Maritim Kelantan mendapati bahan api itu sudah berjaya dijual.

Katanya, berpandukan kepada reka bentuk kapal ia mampu memuatkan kira-kira 2,000 liter bahan api.

Sementara itu, Nur Syam Asmawie berkata, pada Jumaat lalu, pihaknya menahan sebuah kapal Vietnam yang menceroboh masuk ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kapal yang digunakan untuk menangkap gamat di perairan negara itu ditahan dari jarak 45.1 batu nautika dari muara Tok Bali pada jam 12.30 tengah hari.

"Empat kru termasuk tekong berusia antara 28 hingga 36 tahun ditahan," katanya.

Katanya, nilai rampasan kedua-dua kapal itu dianggarkan berjumlah RM1.6 juta.