Dasar Perhutanan Malaysia satukan semua negeri

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan buku Dasar Perhutanan Negara pada Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan tahun 2021 di Taman Botani Kepong, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) hari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan buku Dasar Perhutanan Negara pada Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan tahun 2021 di Taman Botani Kepong, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu supaya Dasar Perhutanan Malaysia menjadi rujukan bersama oleh semua kerajaan negeri.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan usaha untuk membangun dan mengurus hutan secara lebih kukuh dan lestari akan terlaksana.

"Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-78 pada 29 Januari 2021 telah menyaksikan penyatuan julung kalinya semua negeri di Malaysia dalam bidang pengurusan perhutanan negara yang telah menjangkau usia 120 tahun.

"Pada mesyuarat tersebut, semua kerajaan negeri telah bersetuju dan menerima Dasar Perhutanan Malaysia yang menggariskan hala tuju yang jelas kepada sektor perhutanan dalam mendepani cabaran-cabaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perhutanan Malaysia ini adalah dasar kita bersama. Kita semua harus bertindak dan memainkan peranan yang lebih aktif sebagai ejen konservasi dan penggerak pembangunan sosioekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia Sempena Hari Hutan Antarabangsa 2021 di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini pada Ahad.

Menurutnya, semua pihak harus bertindak dan memainkan peranan yang lebih aktif sebagai ejen konservasi dan penggerak pembangunan sosioekonomi negara.

"Saya berharap agar usaha bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam melaksanakan kelima-lima objektif Dasar Perhutanan Malaysia akan terus padu bagi mencapai sasaran yang telah dihasratkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut menyambut baik komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan litupan hutan di bawah Rancangan Struktur Negeri masing-masing.

Jelasnya, kerjasama strategik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan dan pihak swasta adalah penting dalam merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan.

"Bagi menyokong hasrat ini, saya telah melancarkan “Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok” di seluruh negara dengan sokongan Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada 5 Januari yang lalu," katanya.