'Kantoi' seludup PATI guna bas

Bas yang digunakan untuk menyeludup PATI.
Bas yang digunakan untuk menyeludup PATI.
A
A
A

KOTA BHARU - Cubaan mengangkut 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand termasuk seorang kanak-kanak menggunakan bas gagal apabila taktik itu berjaya dipatahkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu selepas berjaya menahan kenderaan itu di Wakaf Che Yeh, di sini pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Nor Azizan Yusof berkata, kejayaan itu hasil maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan PATI yang diterima oleh pihaknya.

"Semasa melakukan rondaan pada jam 7 pagi, anggota PGA telah terserempak dengan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, anggota PGA kemudian terus menghampiri dua lelaki tersebut untuk melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas badan kedua-dua suspek tidak mempunyai barang salah dan pasukan itu kemudian mengarahkan lelaki tersebut untuk membuka pintu bas yang berkunci ketika itu.

Nor Azizan berkata, pemeriksaan ke atas bas itu membawa kepada penemuan seramai 36 orang PATI.

Cubaan mengangkut 36 PATI warga Thailand termasuk seorang kanak-kanak menggunakan bas gagal apabila taktik itu berjaya dipatahkan oleh PGA Batalion 9 Kuala Terengganu selepas berjaya menahan kenderaan itu di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.
Cubaan mengangkut 36 PATI warga Thailand termasuk seorang kanak-kanak menggunakan bas gagal apabila taktik itu berjaya dipatahkan oleh PGA Batalion 9 Kuala Terengganu selepas berjaya menahan kenderaan itu di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

Katanya, hasil pemeriksaan PGA telah menemui 22 lelaki dan 13 perempuan serta seorang kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka itu yang berusia antara 20 hingga 40 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Selain PATI, kita turut menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian lain pada hari yang sama, Nor Azizan berkata, dua lelaki dan dua wanita dipercayai PATI warga Thailand berjaya ditahan di Kampung Dangar di sini.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang tekong dalam serbuan pada jam 3.28 petang itu.